Tempatan

BSD: Kami Masuk Kandang Singa, Platform UM Perlu Lebih Adil – Lukman Sheriff

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 September 2022 – Seorang peguam, Lukman Sheriff Alias telah menyifatkan bahawa beliau serta rakannya, Aidil Khalid akan masuk ke kandang singa apabila dijemput sebagai ‘discussant’ dan bukan ‘speaker’ atau pembentang utama pada sebuah simposium yang bakal diadakan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Simposium anjuran bersama oleh Universiti Malaya (UM) dan National University of Singapore itu akan membahaskan tentang pindaan Perlembagaan dan struktur asas di Malaysia.

Menurutnya, adalah lebih adil jika mereka berdua diberi platform sebagai speaker kerana ianya dapat memberi ruang bagi pembentangan yang lebih menyeluruh berbanding dengan hanya ruang 15 minit sebagai ‘discussant’.

Namun beliau tetap berterima kasih kepada pihak Universiti Malaya kerana telah memberi pengecualian untuk mereka sebagai ‘discussant’ pada dua topik perbincangan, walaupun permohonan beliau untuk menjadi panelis telah ditolak.

Menurutnya, “Saya memohon kepada urusetia platform panelis tetapi urusetia tidak setuju. Setelah berbincang mereka setuju saya dan Aidil menjadi discussant. Saya akui pemohonan saya sukar kerana mereka sudah pun menetapkan terdahulu. Dan discussant ini pun saya nampak mereka telah beri exception. Hanya saya dan Aidil discussant. Topik ketiga tiada discussant. Untuk ini saya berterima kasih kepada UM.”

Beliau juga menzahirkan harapan agar UM dapat memberi ruang kepada beliau dan rakan-rakan untuk menjadi pembentang dalam mewakili pihak yang tidak bersetuju dengan Doktrin Struktur Asas (BSD).

Doktrin Struktur Asas adalah sebuah konsep yang dimulakan di India dan kini cuba untuk diperkenalkan dan diterima di Malaysia. Antara ciri-ciri BSD yang cuba diperkenalkan di negara ini adalah pendirian bahawa Perlembagaan Negara mempunyai struktur asas yang tidak dapat dipinda oleh Parlimen, skop struktur asas tersebut ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah dan sebarang penggubalan undang-undang dan pindaan Perlembagaan oleh Parlimen akan dianggap tidak sah apabila didapati bertentangan dengan strukur asas.

Leave a Reply

Back to top button