Tempatan

BSD Ancam Kedudukan Islam Dalam Negara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 September 2022 – Pengerusi Gerakan Daulat, Profesor Dr Mohd. Roslan Mohd. Nor menegaskan bahawa keputusan penghakiman sivil berasaskan Doktrin Struktur Asas (BSD) bagi kes-kes hukuman Mahkamah Syariah dikhuatiri memberikan ancaman kepada prinsip Islam.

Ujarnya, melalui BSD, hakim boleh mentafsirkan bentuk-bentuk hukuman itu sendiri berasaskan kepada kebijaksanaan mereka tanpa melihat kepada semangat Perlembagaan dan semangat kedudukan Islam di dalam negara.

“…Apabila satu-satu penghakiman Mahkamah Syariah itu dicabar di Mahkamah Sivil, hakim melalui BSD boleh mengkaji semula keputusan Mahkamah Syariah. Ini bertentangan dengan semangat pindaan Perlembagaan 1988 yang mahu memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah,” kata beliau seperti dalam laporan sebuah portal tempatan.

“Jadi keputusan mutakhir berpihak kepada mereka yang mencabar, maka Mahkamah Syariah seolah-olah tak ada kuasa untuk memutuskan de­ngan muktamad sebarang bentuk kes yang berkaitan pesalah Syariah dan ia juga meletakkan Mahkamah Syariah sentiasa berada di bawah Mahkamah Sivil,” ujar Profesor Dr Mohd. Roslan.

Beliau seterusnya memberikan contoh penghakiman kes liwat oleh Mahkamah Syariah yang kini sudah boleh dicabar di Mahkamah Sivil.

“Contohnya kes liwat atau mana-mana kesalahan jenayah Syariah, mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes di Selangor, maka Mahkamah Syariah tidak lagi boleh membicarakan kes liwat, maka kita khuatir banyak lagi penghakiman yang diputuskan Mahkamah Syariah yang dicabar, Mahkamah Sivil boleh menunjukkan kuasa mutlak (melalui BSD) kepada penghakiman Mahkamah Syariah.”

Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa BSD perlu dihapus dan ditolak keseluruhan.

Menurut Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, BSD adalah suatu konsep yang berasal dari India.

Sebelum daripada ini para hakim di Malaysia menolak penggunaan doktrin asing bagi mentafsir Perlembagaan Persekutuan namun sejak kebelakangan ini penolakan tersebut telah menjadi kabur.

“Doktrin ini merbahaya kepada fabrik asas negara dan bakal menimbulkan pertembungan besar di negara kita,” tegas Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Aidil Khalid, Lukman Sheriff Alias, Yusfarizal Yusoff dan Badruzzaman Ishak dalam laporan berlainan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: