Tempatan

Ini Malaysia Bukan UK, Guna Pakai Undang-Undang Ikut Acuan Malaysia – Dato’ Julita Ilhani NAJM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2023 – “Ini negara Malaysia bukan United Kingdom, jadi kita kena guna pakai apa sahaja undang-undang mengikut acuan kita bukan acuan Inggeris lagi,” ujar Kursi Teraju Perdana NAJM, Dato’ Julita Ilhani Binti Dato’ Sri Abd Jabbar.

Beliau berkata, sepatutnya sudah tidak timbul lagi masalah konflik antara teks Bahasa Melayu dan teks Bahasa Inggeris kerana sudah sekian lama dibuat terjemahan malah telah pun dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sejak tahun 2003 lagi dan ia sekali gus menjadikan teks Perlembagaan Bahasa Melayu sebagai sahih dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Namun soal ketidakpatuhan ini dapat dilihat, apabila sehingga kini masih tidak nampak sebarang usaha oleh pihak yang bertanggungjawab bagi merealisasikan penggunaan terjemahan Bahasa Melayu tersebut.

Justeru, kita perlu melihat di mana punca permasalahan ini sebenarnya dan menyelesaikannya secara tegas dan bijaksana.

Pada pandangan saya, pihak Peguam Negara seharusnya mengambil peranan utama memulakan langkah bijak bagi menguruskan dan memastikan teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan dan dipatuhi dengan segera.

“Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas memperuntukkan kedudukan teks Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu ini,” katanya.

Secara jelas, Perkara 160B menyebut,”Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan itu dengan teks Bahasa Inggeris Perlembagaan ini, teks Bahasa Kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks Bahasa Inggeris itu.”

Malah, jika merujuk kepada hansard Parlimen semasa pindaan yang memasukkan Perkara 160B ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 2001, penggubal pindaan tersebut juga menyatakan dengan jelas, jika sudah wujud naskhah Bahasa Melayu, maka undang-undang termasuk Perlembagaan di dalam Bahasa Inggeris akan digantikan oleh naskhah Bahasa Melayu dan naskhah Bahasa Melayu tersebut akan dijadikan naskhah sahih.

Kemudian, pada 29 September 2003 seperti yang dilaporkan, bukan hanya naskhah Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sudah disiapkan, bahkan YDPA juga telah turut melancarkannya.

Perlu juga dijelaskan, bahawa Perlembagaan Persekutuan BUKAN dokumen akta Parlimen atau ordinan yang kena diwartakan.

“Ianya adalah Undang-Undang Tertinggi Negara yang sekali gus melepasi kedudukan Akta Parlimen dan yang seumpamanya.”

Tambahan, setelah ia dirasmikan oleh YDPA tempoh hari maka, ia sebenarnya secara langsung telah pun menjadi sahih sekali gus wajar dipatuhi dan secara otomatik segala isu yang dibangkitkan berkaitan pewartaan dan sebagainya juga adalah terbatal sama sekali.

Sekarang, tinggal lagi penguatkuasaannya untuk digunakan secara tegas dan konsisten di mahkamah perlu diberikan perhatian serius oleh pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab berkenaan.

Bagaimanapun, agak mengelirukan apabila Jabatan Peguam Negara sendiri masih belum cakna untuk mengambil langkah seterusnya. Mungkin ada pihak lain boleh menjuarai isu kritikal ini?” soalnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: