Tempatan

Bongkar Rahsia Keris Mat Kilau, Tertanam Lebih 70 Tahun

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 06 Julai 2022 – Hj Mohd Al-Hamadi bin Haji Abu Bakar, cucu kepada pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau, telah mendedahkan rahsia keris Mat Kilau yang dipercayai tertanam lebih 70 tahun, ketika wawancara bersama samudera.my baru-baru ini.

Menurut Hj Mohd Al-Hamadi, keris itu telah ditanam oleh Mat Kilau di dalam sebuah tempayan, sebelum mengundur diri pada tahun 1894. Ia ditanam selama lebih 70 tahun dan diserahkan kepada menantunya, Haji Abu Bakar sebelum beliau mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau pada 26 Disember 1969.

Menerusi wawancara berkenaan, Hj Mohd Al-Hamadi menceritakan bahawa Mat Kilau menerima keris itu semasa berumur 16 tahun dan ianya dianggap sebagai pengganti diri beliau. Oleh sebab itu, keris tersebut ditanam bagi menyembunyikan identitinya ketika dalam buruan pihak British.

Selain itu, Mat Kilau akan membawa beberapa senjata di keliling pinggang ketika berperang, malah keris tersebut merupakan senjata yang sentiasa dibawa Mat Kilau sepanjang peperangan. Hj Mohd Al-Hamadi turut membongkarkan bahawa keris tersebut digunakan buat pertama kalinya ketika menikam ‘orang putih’.

Antara senjata lain yang dibawa Mat Kilau ialah badik, keris selit dan golok pendek, namun kadangkala senjata-senjata ini ditinggalkan atau diberikan sebagai hadiah kepada sahabat perjuangannya kecuali keris tersebut.

Keistimewaan keris Mat Kilau juga terletak pada fizikalnya yang mempunyai ciri-ciri keris Pahang. Ia merupakan sebuah keris lurus besi sebatang tanpa lok (lekuk) dan panjang bilahnya lebih daripada 14 inci.

Pada bahagian aring dan belalai gajah, logam perak telah ditanam dalam keris bagi menggerunkan orang yang mengamalkan ilmu kebal. Hulu keris Mat Kilau diperbuat daripada sumbu, manakala sampir dan batang serunai turut mempunyai ciri-ciri keris Pahang. Bilahnya juga ringan dan boleh dilenturkan. Selain serangan tikaman dan hiris, keris Mat Kilau turut digunakan bagi serangan berbentuk tebasan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: