Tempatan

Bom Meletup, MPS ‘Tak Dengar’, Penduduk TMJ Berang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SUNGAI BULOH, 16 Disember 2022 – Aktiviti kuari di Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL) dilaporkan semakin rancak sehingga menyebabkan penduduk di Taman Matang Jaya terpaksa berdepan pencemaran bunyi dan udara.

Menurut penduduk sekitar, Hisham, 50, selama ini mereka memang terdedah dengan pencemaran udara dan bunyi sejak 16 tahun yang lalu, namun lapan tahun kebelakangan ini aktiviti itu semakin membimbangkan.

“Sebelum kami beli rumah ini, memang sudah ada aktiviti ini. Masa mula duduk dulu, aktiviti di sini tak sehebat sekarang.”

“Malah, sebelum ini Sabtu dan Ahad tak ada aktiviti pun, sekarang ini hari-hari ada, Sabtu dan Ahad pun ada bunyi bom, kadang-kadang satu hari sampai lima kali bom.”

“Terbaharu hari Ahad lepas, bunyi bom sangat kuat, sampai bergegar habis rumah. Tetapi rumah di sini memang kebanyakannya sudah retak, dengan mozek banyak yang sudah tertanggal,” katanya.

Penduduk di sini juga mendakwa bukan sahaja tujuh kuari yang dipercayai wujud berhampiran kawasan ini, namun ada juga kewujudan kilang haram yang berkaitan pembuatan batu bata dan kayu balak.

“Satu hari itu kita boleh lihat dalam 300 buah lori ulang masuk, dulu lori pendek sahaja, sekarang makin panjang, sudah macam treler. Dalam itu bukan setakat buat batu (kuari), banyak kilang haram buat batu bata, kayu balak sebab itu penuh lori.”

Dianggarkan lebih 300 lori muatan besar berulang-alik setiap hari di laluan masuk aktiviti tersebut yang berdekatan dengan perumahan di sini, menyaksikan pertambahan berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkara ini dimaklumkan telah disuarakan kepada pihak berkuasa terutamanya kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, namun tiada perubahan yang berlaku.

Senada dengan Hisham, seorang lagi penduduk yang bernama Amin, 55, berkata penduduk tidak menolak kemajuan, namun kerosakan jalan dan pencemaran teruk ini membuatkan mereka berasa kesal.

“Kita sebenarnya bukan menentang kemajuan, tetapi perkara asas kena jaga iaitu jalan dan hutan. Buatlah apa pun, tetapi fikirkanlah juga penduduk yang tinggal berdekatan.”

“Jalan kawasan ini, sudah macam bendang, dengan berlopaknya, itu tak cerita lagi bab kemalangan dengan lori lagi, hadap sajalah.”

“Awal pagi lagi lori beratur sudah macam kereta api. Itu belum cerita bab habis kerja lagi, kalau dulu kata aktiviti sampai pukul 5 petang saja, tetapi sekarang sampai pukul 9 malam pun berbunyi lagi.”

“Jadi kita harap Kerajaan baru ini boleh bantu dan semoga ada perubahan,” katanya yang mengharapkan timbang rasa pihak berwajib.

Sebelum ini, samudera.my pernah mendedahkan skandal 887 hektar HSKBL bagi kerja-kerja kuari menyebabkan hutan simpan di negeri ini semakin mengecil.

Lebih menyedihkan, perluasan kawasan kuari didakwa berlaku di Bukit Lagong melibatkan syarikat-syarikat yang diberikan lesen oleh Kerajaan Negeri.

Hal tersebut dikhuatiri äkan menyebabkan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) tahap satu itu terputus litupannya yang bersambung dengan hutan bahagian tengah Semenanjung atau Central Spine Forest (CSF).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: