Bom Lempar Meletup Ketika Latihan, Seorang Anggota TUDM Maut, 2 Jurulatih Cedera
GEMAS, 26 Jun 2023 – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia manakala dua lagi jurulatih mengalami kecederaan parah selepas bom lempar meletup sewaktu sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan, semalam.
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berlaku satu insiden kejadian kemalangan melibatkan tiga (3) anggota TUDM pada 25 Jun 2023. Insiden melibatkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan,” kata TUDM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi TUDM.
BACA JUGA: Modi Nafi Dakwaan Diskriminasi Minoriti Muslim Di India
BACA JUGA: Projek Kontroversi Pulau Buatan Pulau Pinang Mula Julai Ini
BACA JUGA: Insiden Bakar Masjid Di Rajasthan, Seorang Ahli BJP Antara Ditahan
Jelasnya, kemalangan yang berlaku pada jam lebih kurang 12.10 tengah hari itu telah mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, dua jurulatih yang turut mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.
“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota TUDM yang terlibat dan menyerahkan kes kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan. Seterusnya, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.”
Sehubungan itu, pihak TUDM menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan yang dijalankan oleh pihak polis selesai dan menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.
“Maklumat perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas pihak TUDM lagi.