Bolehkah Kita Benarkan Naratif Pengiktirafan LGBT Dalam Laporan SUHAKAM? – Profesor Madya Dr Rafidah Hanim
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 07 Oktober 2021 – “Jika ini dilakukan, pada saya kita telah secara langsung mengiktiraf pembedahan pertukaran jantina itu sendiri (sila ambil maklum, perkara ini adalah di bawah bab LGBTQ, bukan atas sebab kesihatan dalam interseks/khunsa/ disorder of sex development atau DSD yang dibenarkan),” tegas Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Kenyataan ini dikeluarkan beliau selepas meneliti Laporan Separuh Penggal SUHAKAM di bawah tajuk ‘Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender and Intersex (LGBTI) Persons’ yang dilihat memperjuangkan hak untuk golongan itu.
Kata Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini, “Buat pertama kali, SUHAKAM memasukkan istilah non-binari sebagai tambahan kepada LGBTQ. Ini dilakukan ketika dunia sains, hatta di negara-negara Barat sedang memperdebat dengan hangatnya akan gender ketiga (non-binari dan transgender).”
Ini secara tidak langsung memperkukuhkan naratif pengiktirafan gender ketiga oleh SUHAKAM yang pada mulanya dicetuskan oleh tawaran kajian mereka, tegas beliau.
Bukan itu sahaja, SUHAKAM juga malah mengesyorkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar nama secara separa bagi mereka yang telah menjalani pembedahan pertukaran jantina.
“Contoh bagi cadangan SUHAKAM kepada JPN untuk penukaran separa nama tersebut mungkin boleh difahami dari kes Muhammad Sajjad yang menggunakan nama Nur Sajat…”
“Bolehkah kita membenarkannya?” persoal Profesor Madya Dr Rafidah Hanim.
Oleh sebab itu, sewajarnya ada pihak dari kalangan Pesuruhjaya SUHAKAM yang memantau dan menasihati perkara-perkara yang tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Syariah, kata beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA).