Tempatan

BN Menang 2/3, Masa Untuk Pinda Undang-Undang Tubuh Negeri Untuk Perundangan Syariah – Pengerusi PEMBELA

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 13 Mac 2022 – “Barisan Nasional (BN) telah memenangi lebih dua per tiga dari jumlah kerusi DUN Johor yang bermakna mereka mampu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, iaitu undang-undang tertinggi bagi negeri itu.”

Demikian kenyataan Pengerusi PEMBELA, Hj Aminuddin Yahaya yang menganggap kemenangan parti komponen tersebut sebagai peluang yang boleh diambil untuk memperkuat perundangan Syariah di Negeri Johor.

Ini kerana penubuhan Mahkamah Syariah tidak termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor tetapi sekadar dalam enakmen pentadbiran sahaja.

Seterusnya, ini menjadikan perundangan Syariah di Negeri Johor terdedah kepada ancaman perundangan lebih-lebih lagi telah banyak yang menyifatkan Mahkamah Syariah hanya sekadar tribunal sahaja, jelas Hj Aminuddin.

Tambah beliau dalam kenyataan tersebut, “Mengambil kira pelbagai siri-siri pencabaran terhadap kedudukan perundangan Syariah di negeri-negeri lain, maka kita tidak menolak ianya akan tiba di Johor tidak lama lagi.”

Justeru, PEMBELA menggesa agar Menteri Besar Johor yang bakal dilantik nanti, dengan kekuatan lebih dua per tiga dominasi kerusi DUN itu untuk memperbetulkan keadaan ini sekaligus memperkukuhkan kedudukan perundangan Syariah di Negeri Johor.

Di samping itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut merakamkan ucapan tahniah di atas kemenangan yang diperoleh BN dalam PRN Johor semalam.

“Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon yang terpilih untuk mewakili rakyat ke DUN Johor bagi penggal yang baharu ini selepas memenangi PRN Johor.”

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh semalam mengumumkan keputusan rasmi PRN Johor dengan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) yang memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Leave a Reply

Back to top button