“BMF 2.0 Akan Muncul Kembali” – Pengerusi PEMBELA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 Mei 2022 – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya berkata, Kempen BMF 2.0 akan muncul tidak lama lagi dengan lebih agresif dan strategik sebagai kesinambungan dari yang sebelum ini.
Beliau berkata, kempen tersebut mengajak mengutamakan produk Muslim bagi menyokong usahawan-usahawan Muslim.
“Kalau dilihat di artikel di atas (1.3 juta Melayu Miskin Tegar) jelas menunjukkan orang Islam yang majoriti besarnya adalah orang Melayu berada pada tahap kemiskinan yang membimbangkan.”
“Oleh itu, kita sebagai umat Islam wajib berbuat sesuatu di seluruh peringkat dan kemampuan.”
Dalam pada itu, beliau berkata ada segelintir yang melabelkan kempen ini sebagai rasis.
Menyangkal dakwaan itu, beliau menjelaskan akibat pandemik COVID-19, ribuan usahawan Melayu sudah pun gulung tikar, yang menganggur pun majoritinya adalah orang Melayu Islam dan Bumiputera.
“Jadi apakah salah kalau kempen BMF ini dibuat untuk membantu orang Islam, yang pastinya majoritinya adalah Melayu? Apakah salah kalau kita berusaha untuk mengeluarkan orang Melayu dari tahap kemiskinan tegar?”
Beliau turut memaklumkan, kempen BMF dahulu mendapat sambutan yang luar biasa dari peniaga-peniaga Melayu.
Ada yang menyatakan jualan mereka meningkat 100 hingga 300 peratus.
“Pendekatan BMF dalam tabiat berbelanja bagi masyarakat Islam memang terbukti memberi impak yang besar.”
Oleh itu, beliau memohon agar tiada pihak yang menghalang kempen ini yang juga jihad membantu ekonomi umat.
“Kita tidak akan berhenti membantu umat yang miskin papa kedana walaupun dicemuh oleh pelbagai pihak.”
“Ini kempen kita semua, untuk manfaat kita semua juga.”