Tempatan

Bina Sekolah Kebangsaan Jangan Hanya Kerana Menjelang Pilihan Raya Negeri Sahaja – Setiausaha BERTINDAK, Haji Zainol Talib

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUCHONG, 16 Jun 2023 – “Sebagai penduduk Bandar Kinrara, saya menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membina satu sekolah kebangsaan di Bandar Kinrara dalam masa beberapa tahun lagi. Tahun ke berapa tidak pula dinyatakan secara khusus,” ujar Setiausaha Pertubuhan Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK), Haji Zainol Talib.

Menurutnya, dari maklumat yang diperolehi, lokasi cadangan sekolah baharu ini adalah di antara tiga (3) tapak sekolah kebangsaan yang telah dikenal pasti oleh Badan Bertindak Badan Kinrara (BERTINDAK) yang dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Maksudnya, ini adalah tanah Kerajaan.

Anehnya, semasa wabak COVID-19 melanda seluruh dunia, pada 22 Oktober 2020, salah satu dari tiga tapak sekolah kebangsaan ini telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang dari Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk kerja-kerja pembinaan SJKC Too Joon Hing.

“Kita semua maklum bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan urusannya bukan urusan rasmi. Ini bermaksud SJKC Too Joon Hing adalah sebuah sekolah swasta dan bukan sekolah Kerajaan,” tegas beliau.

Soalan pertama saya, bagaimana proses permohonan yang melibatkan beberapa agensi Kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia boleh mendapat kelulusan semasa wabak COVID-19?

Soalan kedua, kenapa tapak sekolah kebangsaan milik Kerajaan itu diberi kepada sebuah sekolah swasta yang tidak menggunakan bahasa Kebangsaan dalam penyampaian silibus Kementerian Pendidikan Malaysia?

Soalan ketiga, bagaimana kerja-kerja tanah pada April 2021 tanpa kelulusan Pejabat Tanah dan Galian diluluskan oleh MBSJ?

Tambah beliau lagi, pada 2 Mac 2023 lepas, BERTINDAK bersama PEMBELA dan PPIM telah menyerahkan satu memorandum untuk mendapatkan sokongan Menteri Besar Selangor, YB Datuk Seri Amirudin Shari, untuk membina dua (2) buah Sekolah Kebangsaan dan satu (1) buah Sekolah Menengah Kebangsaan di Bandar Kinrara.

Jelas beliau, permohonan ini dibuat kerana YB Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor, amat komited untuk membina lebih banyak lagi Sekolah Cina bebas di daerah Petaling dan Hulu Langat dalam tahun 2023.

Menurut Haji Zainol, pada 31 Januari 2022 lepas, satu permohonan rasmi untuk membina Sekolah Kebangsaan di atas tapak yang telah diberi kelulusan untuk dibangunkan SJKC Too Joon Hing di Lot 3418 Jalan Kinrara 5B, Bandar Kinrara telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin.

“Sehingga kini, tiada maklum balas diterima dari Menteri Besar Selangor atau Kementerian Pendidikan Malaysia.”

“Hanya janji-janji yang akan dilaksanakan dalam beberapa tahun lagi dari KPM dan wakil rakyat Kinrara Ng Sze Han menjelang pilihan raya negeri sahaja,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: