Kolumnis

Bimbang Pendakwah Tak Tahan Godaan – Mahmood Zuhdi

KUALA LUMPUR: “Saya tidak nafi keikhlasan selebriti dakwah tetapi bila sudah popular, godaan terlampau banyak, bimbang mereka tidak dapat berhadapan dengan godaan itu, kena hentikanlah pencarian pendakwah dengan cara program realiti televisyen ini,” demikian menurut kenyataan Mahmood Zuhdi seperti dilaporkan FMT.

Menurut Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) itu, antara faktor menjurus kepada salah laku ini adalah kerana kurangnya pemantauan dan asuhan yang mendalam terhadap golongan ini menyebabkan mereka bertindak berdakwah sesuka hati.

“Mereka ini bukan agamawan, malah bukan ustaz. Mereka belum cukup akademik dan tidak cukup ilmu (untuk dilabel agamawan atau ustaz). Bila ada ilmu tentang agama barulah mereka boleh menjadi pendakwah yang baik.” 

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi menyatakan bahawa pengisian program yang dianjurkan dalam tempoh singkat, selama enam bulan tidak mampu melahirkan seorang pendakwah jika dibandingkan dengan individu yang menuntut ilmu bertahun-tahun di sesebuah universiti.”

Beliau turut berpendapat bahawa seseorang yang memegang gelaran itu memainkan peranan penting untuk menjaga reputasi mereka bagi mengelakkan dilabel penunggang agama. Label negatif sebegini, akan memberikan impak tidak elok kepada Islam kerana ia dianggap fitnah baharu dalam agama.

Lebih malang apabila ada populariti dan masyarakat mula percaya, kesempatan diambil dengan menggunakan nama agama dan menjadi penyebab timbulnya sikap tidak ikhlas dalam menyampaikan dakwah.

Menilai masalah ini, Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Dr Mahmood Zuhdi, menasihatkan supaya mewujudkan pusat latihan dakwah sebaik sahaja mereka tamat program realiti TV tersebut jika ingin meneruskan lagi program realiti tersebut.

“Kita kena ada satu pusat latihan dakwah lanjutan sebaik sahaja selepas mereka tamat program realiti TV. Pusat ini akan menyediakan bimbingan bukan sahaja tentang benda-benda akademik dan ilmu agama tetapi juga tentang pegangan dan prinsip hidup,” tegasnya lagi.

Beliau juga berharap agar Majlis Agama Islam memantau rapat pendakwah selebriti dan bukan hanya terhadap pendakwah tradisional sahaja supaya ilmu disampaikan kepada masyarakat tidak terpesong.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button