Tempatan

Bilangan Penganggur Turun Kepada 680,400 Orang – Jabatan Perangkaan Malaysia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 14 Mac 2022 – Malaysia berjaya menurunkan kadar bilangan penganggur kepada 680,400 orang pada Januari 2022 menerusi aktiviti ekonomi yang menggalakkan, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Justeru, tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus mencatatkan 16.37 juta orang, seterusnya membawa kepada peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh Januari kepada 69.1 peratus.”

“Situasi ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada Januari 2022 berikutan kesemua negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan perniagaan terus beroperasi pada kapasiti penuh dengan waktu perniagaan yang lebih panjang.”

Menurut beliau lagi, terdapat peningkatan berterusan untuk penggunaan tenaga kerja pada Januari 2022 dan trend bagi pengangguran juga menurun.

Pada bulan Disember 2021, bilangan penganggur dalam negara adalah seramai 687,600 orang berbanding 680,400 orang pada Januari.

Daripada jumlah penganggur pada Januari itu, 83.7 peratus daripada mereka sedang aktif mencari pekerjaan dan bersedia untuk memasuki alam pekerjaan, menurut beliau lagi.

Sebelum ini berlaku lambakan besar jumlah penganggur dalam negara disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melandaikan kenaikan kes harian jangkitan COVID-19.

Banyak perusahaan kecil dan sederhana terpaksa mengambil langkah memberhentikan pekerja sebagai cara menghadapi situasi kewangan terburuk berikutan pelbagai sekatan yang menghalang aktiviti perniagaan dijalankan.

Leave a Reply

Back to top button