Tempatan

Bilangan Pembayar Zakat Pahang Meningkat Berbanding 2020

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 25 Januari 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selaku Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Anugerah Zakat yang berlangsung pada hari ini.

Turut mengiringi adalah YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Pengurus Besar PKZ Pahang YH Dato’ Hj Halidan Md Daud.

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain memaklumkan, jumlah kutipan zakat oleh Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang 2021 menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2020.

Jumlah kutipan sebanyak RM178 juta berbanding RM158.2 juta pada tahun 2020 itu juga melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM170 juta.

Menurutnya, bilangan pembayar turut mencatatkan peningkatan sekali gus menunjukkan pencapaian membanggakan walaupun kempen zakat bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

“Kategori tertinggi zakat harta adalah zakat pendapatan yang berjumlah RM86.6 juta daripada 75,710 pembayar. Manakala, jumlah pembayar zakat harta tertinggi adalah zakat perniagaan yang meliputi perniagaan-perniagaan kecil sehinggalah badan-badan korporat.”

“Bagi tahun lalu, RM177.4 juta telah diagihkan kepada 173,000 asnaf yang layak dan golongan asnaf fakir miskin menjadi antara penerima terbesar bantuan zakat bagi tahun lalu, dengan jumlah RM75 juta, melibatkan 126,000 penerima,” jelas Datuk Ahmad Hairi Hussain dengan lebih lanjut.

Dalam majlis tersebut, beliau memaklumkan bahawa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, MUIP telah memperuntukkan sebanyak RM15.3 juta bagi 58,135 penerima bagi membantu mereka yang terkesan ekonomi akibat hilang pekerjaan atau tidak boleh bekerja.

“MUIP merakamkan penghargaan kepada badan-badan korporat di luar Pahang yang telah menyumbang bayaran zakat berdasarkan urusniaga dihasilkan dari negeri ini seperti Lembaga Tabung Haji, bank-bank, FGV Group, Pertubuhan Peladang, Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain syarikat,” tambah beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: