NGO

Bila Mahkamah Bercelaru – Lukman Sheriff

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Apa yang sedang berlaku di mahkamah tertinggi negara yang mana rakyat biasa tidak tahu, ialah perkembangan pemakaian doktrin undang-undang baru yang mana hakim terulung kita yang lepas seperti Almarhum Sultan Azlan Shah dan Tun Suffian telah menolaknya berkali-kali.

Doktrin ini dikenali sebagai doktrin “basic structure”. Ia mula diterima pakai oleh Mahkamah Persekutuan sejak tahun 2018 setelah berdekad-dekad ditolak mahkamah tertinggi sejak merdeka lagi. Antara pelopor terbesar doktrin ini adalah Datuk Sri Ram.

Sejak pelantikan Ketua Hakim baru pada tahun 2018, satu perubahan besar telah berlaku dalam undang-undang kita yang rakyat perlu tahu implikasinya.

Perubahan ini sebenarnya sedang, bakal dan boleh mengubah struktur asas Perlembagaan kita. Maksud saya kalau kita tidak prihatin, doktrin basic structure ini akan dan boleh digunakan untuk mengubah “basic structure” Perlembagaan kita.

“Aik! Macam mana boleh begitu?” anda mungkin tanya.

Dalam doktrin basic structure ini, mahkamah mengatakan Parlimen boleh menggubal undang-undang termasuk meminda Perlembagaan tetapi mahkamah berhak membatalkannya jika bertentangan struktur asas Perlembagaan.

Pada dasarnya bukankah ini baik dan patut diterima? Ia tidak semudah itu. Ramai kena faham implikasi dan kesannya.

Sebelum itu, ramai perlu faham Perlembagaan kita telah menetapkan semua pemegang taruh yang perlu untuk menggubal undang-undang. Satu adalah Parlimen kerana ini adalah wadah refleksi nilai dan suara rakyat. Tak kiralah kita tak suka politician, tetapi wakil rakyat tetap mewakili suara majoriti rakyat.

Pemegang taruh kedua adalah Raja-Raja kita. Kalau undang-undang biasa, kelulusan majoriti diperlukan. Untuk pinda Perlembagaan, 2/3 majoriti diperlukan. Dan bagi sesetengah perkara lagi kelulusan YDPA diperlukan.

Badan kehakiman tidak terlibat dalam menggubal undang-undang dan hanya menginterpretasi dan mengadili undang-undang yang dibuat oleh Parlimen.

Sebelum 2018, selagi mana Parlimen mengikut prosedur pindaan Perlembagaan, ia adalah undang-undang sah. Mahkamah akan mematuhi undang-undang tersebut. Inilah pendirian [Almarhum Sultan Azlan Shah dan] Tun Suffian.

Inilah maksud pengasingan kuasa (separation of powers) yang kita amalkan selama ini. Tetapi sejak 2018, mahkamah mengatakan tidak semuanya boleh. Kalau menyentuh “basic structure” ini tidak dibenarkan.

Katalah semua rakyat, Ahli Parlimen dan Raja-Raja kita bersetuju meminda sesuatu peruntukan Perlembagaan maka pindaan itu adalah tidak sah jika ia bertentangan dengan basic structure. Dan siapa yang tentukan apakah dia “basic structure”? Hanya mahkamah.

Masalah doktrin basic structure ialah tiada siapa tahu apakah dia yang menjadi “basic structure”. Sehingga kini tiada hakim yang dapat memberitahu skop ini dengan jelas. Ramai perlu faham bahawa Perlembagaan tidak menyatakan apakah dia “asas perlembagaan”.

Tiada undang-undang pun yang menerangkan ini. Yang menentukan ini hanyalah hakim. Ini menjadikan doktrin basic structure ini arbitrari atau sewenang-wenangnya ditentukan oleh hakim dengan alasan tersendiri. Perlembagaan kita menjadi tertakluk kepada pemikiran dan ideologi hakim-hakim.

Saya ingin tarik perhatian apa yang berlaku di US. Di sana, parti politik Republican dan Democrat bertelagah “bermati-matian” cuba meletakkan hakim yang membawa nilai mereka. Republican mahukan hakim yang konservatif manakala demokrat, liberal.

Kalau majoriti hakim liberal, mereka akan benarkan misalnya hak pengguguran anak (abortion) atau perkahwinan sejenis. Pihak konservatif sebaliknya. Keputusan Mahkamah Agung mereka akan mencorakkan nilai budaya mereka.

Dengan basic structure doctrine, keadaan kita adalah lebih teruk dari US. Sudahlah kita tiada proses untuk menilai pendirian hakim dalam pemilihan mereka, apa-apa yang mahkamah tentukan tidak boleh dipinda atau diusik langsung.

Sebelum ini kalau sesuatu keputusan katalah bercanggah dengan nilai budaya kita, Parlimen sebagai suara rakyat ada hak untuk membetulkannya dengan menggubal undang-undang baru.

Tetapi dengan konsep basic structure, kita tiada lagi ruang ini. Jadi walaupun hampir 100% rakyat Malaysia, wakil rakyat dan YDPA bersetuju meminda Perlembagaan, mahkamah tetap boleh membatalkannya dengan menggunakan doktrin basic structure ini.

Ini amat bahaya kepada negara kita dan boleh membawa kepada huru-hara/anarki.

Sebagai contoh, dalam Perlembagaan kita jelas tiada merujuk kepada “human rights”. Apa yang jelas adalah “fundamental liberties”/ kebebasan asasi. Kebebasan asasi kita ini, akibat kompromi, tertakluk kepada banyak pengecualian. Jadi berbeza dari konsep human rights liberal barat.

Saya bagi contoh hak persamaan. Di bawah Perlembagaan ada hak tanah Melayu dan tanah pribumi (native) Sabah Sarawak yang melanggar konsep persamaan. Tetapi hak ini tetap sah disebabkan pengecualian Perlembagaan.

Oleh kerana hak ini bersifat kekal, ia jelas bercanggah dengan ICERD. Tetapi bayangkanlah seorang profesor terkenal seperti Shad Faruqi boleh tidak mengendahkannya dan sebaliknya mendakwa ICERD tidak bercanggah.

Jadi, kalau hakim itu liberal misalnya, mereka ini boleh sahaja menghujahkan keputusan memasukkan human rights liberal barat. Kita boleh lihat bibit-bibit ini di beberapa keputusan penghakiman seperti kes Indera Ghandi. Inilah juga yang berlaku di SUHAKAM. (Lihat tulisan saya sebelum ini).

Jangan salah faham bahawa saya mengajukan pengekalan nilai keperlembagaan selama-lamanya. Pada saya, apa-apa kompromi boleh diubah, tetapi ia patut dibuat oleh Parlimen. Bukannya badan kehakiman yang selalunya disconnected/ terpinggir dari realiti.

Mahkamah tidak sepatutnya boleh menghalang perubahan yang dilakukan oleh Parlimen. Mahkamah mesti ada “check and balance”. Kalau mahkamah menyimpang dari “the will of the people”, ia sepatutnya boleh dibetulkan oleh Parlimen.

Dengan menidakkan hak ini, konsep doktrin “basic structure” ini menggugat konsep separation of powers / pengasingan kuasa kita ini. Mahkamah tiba-tiba menjadi pemegang taruh baru dan meletakkan syarat penggubalan yang tidak wujud dalam PERLEMBAGAAN.

Apa yang terjadi sebenarnya adalah mahkamah telah mengambil kuasa membuat undang-undang yang dahulunya adalah bidang kuasa Parlimen dan Raja-Raja. Masalah kita politician-politician kita terlalu sibuk dengan politik sehingga tidak tahu bahawa kuasa mereka dihadkan.

Sebelum ini saya sudah menyuarakan ketidaksetujuan saya dengan pengenalan doktrin ini di dalam kes Indera Ghandi. Kemudiannya saya melihat hakim-hakim mula menyedari permasalahan doktrin ini dengan menolak pemakaian doktrin ini dalam kes Maria Chin dan Rovin Jothy.

Tetapi apabila tiba kes Dinesh v Lembaga Pencegahan Jenayah baru-baru ini, saya rasa sudah tiba kita bertegas kembali kepada asal. Dalam kes ini hakim yang menyokong doktrin basic structure telah cuba menginterpretasi keputusan majoriti hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Maria Chin sebelum ini sebagai minoriti dan keputusan minoriti sebagai majoriti.

Ini sungguh unprecedented / satu keganjilan / tidak pernah berlaku dalam Mahkamah Persekutuan semata-mata hendak menegakkan doktrin basic structure. Pelik sungguh.

Dan apabila alasan ini berdasarkan apa yang tacit/ tidak nyata dan setelah menegakkan doktrin ini kemudiannya menyatakan tak perlu pakai doktrin ini, saya rasa sudah cukup kita mencuba menggunakan doktrin ini. Sudah bercelaru. Kita kembali ikut keputusan asal Tun Suffian [dan Almarhum Raja Azlan Shah].

Sudah tiba masa kita menyuarakan dengan jelas penolakan doktrin basic structure ini.

Pautan Asal Artikel: Facebook Lukman Sheriff 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: