Tempatan

Bil Elektrik: Mungkin Subsidi Tidak Akan Diberikan – Menteri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Julai 2022 – “Tetapi subsidi tidak akan selama-lamanya. Mungkin pada masa akan datang subsidi tidak akan diberikan,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengenai subsidi bil elektrik sewaktu pembentangan di Dewan Rakyat hari ini.

Menunjukkan sekeping bil elektrik yang dibawa masuk ke dalam sidang itu, beliau kemudiannya menyebut berapa jumlah yang sepatutnya dibayar oleh rakyat sebelum subsidi.

“Satu bil ini, bil semasanya berjumlah RM115.45. Ini bil saya jangka B40 lah. Kerajaan memberi subsidi sebanyak RM37.46, lebih kurang 29%. Rakyat sepatutnya dalam kes ini, bil ini RM152.91, tapi dia bayar hanya RM115 sahaja dengan subsidi RM37.46.”

Kerana itu beliau mengharapkan agar rakyat dapat berjimat dalam menggunakan elektrik supaya negara tidak menghadapi masalah bekalan eletrik.

“Yang dibuat ini adalah untuk menyedarkan rakyat Malaysia betapa besarnya subsidi yang diberikan oleh Kerajaan kita kepada rakyat dan dengan ini kita mengharapkan rakyat mengamalkan sikap jimatkan tenaga elektrik.”

“Agar negara kita ini tidak menghadapi krisis bekalan sama ada brownout ataupun blackout. Kita minta supaya tidak berlaku di negara kita.”

Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kadar subsidi yang hendak dibayar Kerajaan bagi tarif penggunaan elektrik akan dipaparkan dalam akaun bil pengguna mulai bulan depan.

Ini kerana menurutnya, rakyat perlu tahu bahawa Kerajaan ketika ini bukan sahaja terpaksa menanggung kos tambahan bagi penjanaan elektrik, tetapi, masih mampu memberikan rebat bagi mengurangkan beban pengguna.

“Jadi, rakyat kena bersyukurlah, elektrik ini hanya dibayar ikut keperluan penggunaannya sahaja. Kos elektrik ini sudah pun disubsidi oleh Kerajaan,” kata beliau.

Leave a Reply

Back to top button