Tempatan

Sekolah Islam Persendirian: Kenapa Mesti Ada Syarat Tidak Wajar & Double Standard? – Dr Nik Noor Azlida

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 26 Jun 2023 – “Ingin saya tegaskan di sini bahawa isu Sekolah Islam Persendirian (SIP) ini bukan isu politik tetapi ini isu tentang hala tuju Pendidikan Islam. Maka, marilah kita sama-sama hadapi dengan fikiran yang matang dan terbuka,” ujar Pengerusi (Gabungan Sekolah Islam Selangor GASIS) Dr Nik Noor Azlida Datuk Husain.

Beliau berkata, berkenaan dengan isu SIP yang sedang hangat diperkatakan sekarang sehingga setiap pihak mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan masing-masing. Walau bagaimanapun, bagi saya hal ini satu tindakan yang kurang bijak. Maka, jalan penyelesaian ialah kedua-kedua pihak perlu duduk berbincang. Islam mengajar kita tentang perkara ini.

Tambah beliau, ingin juga saya tegaskan di sini tentang pendirian jelas bahawa GASIS bukan NGO politik.

“Perkara ini, kami telah buktikan bila ada pihak politik yang mengambil kesempatan tentang sidang media kami baru-baru ini, maka kami telah mengubah tempat bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak politik yang hadir.”

“Bagi saya, MB Selangor dan Exco Agama tidak mendapat cerita yang betul apa permasalahan SIP ini,” katanya.

GASIS Beri Penjelasan Isu Sebenar

Justeru, ingin saya jelaskan bahawa isunya yang sebenar adalah yang pertama, SIP bukan menolak untuk melaksanakan Kebenaran Merancang (KM) oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi syarat yang dikenakan adalah tidak wajar.

Kemudian yang kedua, ada 3 PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengeluarkan syarat baru iaitu mana-mana sekolah tidak dibenarkan beroperasi di rumah kedai.

Ketiganya, sokongan yang diperlukan bukanlah untuk pendaftaran baharu tetapi untuk pendaftaran semula setelah tamat 5 tahun atau 2 tahun atau setahun pendaftaran dahulu.

Manakala keempat adalah, saman dan caj yang dikenakan adalah amat tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit Malaysia.

Seterusnya yang kelima, permohonan ditolak tanpa bantuan untuk menyelesaikannya. Hanya menyuruh pengusaha Sekolah ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kemudian apabila ke JAIS, JAIS pula menyuruh ke PBT. Keadaan inilah yang berterusan begini sekarang dan yang tersepit adalah pengusaha sekolah.

Terakhir yang keenamnya, tiada Pemutihan yang dilakukan untuk SIP. Setakat ini hanya untuk Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang merupakan Institusi Tahfiz sahaja dan semua pihak perlu jelas di sini.

Justeru, kami memohon agar ada timbang rasa dari pihak tertentu yang berkenaan untuk menilai semula permasalahan ini.

SIP Dan Tahfiz Berbeza

Perlu juga dijelaskan di sini kerana SIP dan Tahfiz adalah berbeza. SIP tiada asrama. Murid hanya belajar pada waktu siang sahaja. Waktu beroperasi kurang dari 10 jam sehari.

Semua SIP yang beroperasi di rumah kedai, bangunan tersebut sudah ada CF. Berlainan dengan KAFA JAIS yang mana kami dapat tahu ada bangunan yang tiada CF tapi sampai sekarang boleh beroperasi dan di sini terlihat seolah-olah ada double standard.

Tambah beliau lagi, kegagalan mendapatkan sokongan dari PBT walaupun sudah ada sokongan BOMBA dan PKD (Kesihatan) maka sekolah tersebut gagal mendapat kelulusan Pendaftaran Sekolah dan kesan serius ialah murid tidak dibenarkan menduduki peperiksaan UPKK & PSRA.

“Jika lah isu kebakaran yang dipentingkan, kenapa sokongan BOMBA tidak diambil pakai. Bukankah BOMBA yang pakar dalam isu kebakaran?” soalnya.

“Saya mohon maaf, kenapa dibandingkan isu kebakaran tahfiz di Datuk Keramat itu. Walhal, kita semua tahu bahawa tahfiz itu terbakar akibat perbuatan khianat yang mana pintu tahfiz telah dikunci dari luar dan saya percaya mana-mana bangunan yang ada sistem keselamatan dan CF pun jika diikat dari luar pasti penghuninya tidak dapat lari keluar. Sepatutnya, berilah contoh yang lebih relevan,” katanya.

Menurut beliau, jika ada pihak yang berkata kenapa isu ini dikeluarkan ketika Selangor sedang hangat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau menjelaskan, ianya hanya kebetulan kerana kami sendiri tidak tahu pun bila tarikh pembubaran DUN.

Menurutnya, isu ini timbul disebabkan pendaftaran peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). Di mana sekolah-sekolah yang tidak dapat memperbaharui pendaftaran sekolah tidak dibenarkan mendaftar calon murid untuk peperiksaan.

Perlu saya tegaskan di sini, kami tampil bersuara adalah disebabkan kebimbangan yang ketara kerana kepentingan anak-anak murid adalah keutamaan kami dalam pendidikan bukan sebaliknya mencari keuntungan perniagaan seperti yang didakwa.

Maka, atas dasar berjiwa pendidik, pengusaha-pengusaha sekolah berusaha mencari setiap cara agar masalah ini dapat diberi perhatian dan diambil berat dengan lebih cakna oleh pihak berkuasa.

Sebenarnya, dari tahun lepas lagi kami telah beberapa kali memohon untuk satu pertemuan dengan Exco Agama tetapi tiada respon yang diberikan. Berulangkali kami ke JAIS, MAIS, ADUN dan lain-lain lagi. Namun masih tiada menemui penyelesaian sehingga kini.

Di sini, saya ingin memberi pujian tentang sikap ADUN Kota Anggerik yang sentiasa cuba membantu kami dengan memberi pelbagai bantuan malah, beliau menyarankan apa yang perlu dilakukan. Beliau sentiasa mengingatkan bahawa pendidikan bukan isu politik. Inilah sikap pemimpin yang kita inginkan. Terima kasih YB.

“Justeru, saya sangat berharap agar MB Selangor dapat meluangkan masa untuk mendengar sendiri permasalahan SIP ini dari kami dan pengusaha-pengusaha yang terlibat bukan mendapat maklumat dari orang tengah sahaja. Pemimpin yang adil sentiasa disanjung,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: