NGO

Biadab Terhadap Raja Hasil Propaganda Liberal – Haji Rashidi Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

MENTAATI RAJA BUKAN BERERTI BERTUHANKAN MEREKA

Agak mendukacitakan jika benar individu bertaraf “mufti” pernah membuat kenyataan sedemikian padahal mustahil beliau tidak memahami maksud Surah An-Nisaa ayat 59, firman Allah Ta’ala: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

2. Huraian lanjut maksud ayat tadi selain boleh dirujuk kepada beberapa kitab tafsir, elok juga dilihat kepada beberapa kitab yang menghurai panjang mengenai konsep pemerintahan khususnya bab kesultanan atau kekhalifahan, dengan huraian mengikut epistemologi Ahli al-Sunnah wal Jamaah, seperti dalam kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyyah karangan Imam Mawardi. Beliau menghurai kategori pemimpin itu dan tahap batasan yang harus diberi ketaatan. Dan yang pasti bukan dengan membabi-buta dan bukan juga untuk kemaksiatan.

3. Dan mungkinkah akibat dari kenyataannya di tahun 2013 dahulu kini memberi kesan lahirnya generasi muda seperti Fahmi Reza yang sudah berani biadab dan menderhaka terhadap Raja-Raja Melayu (RRM)? Dalam memberi kesetiaan dan ketaatan sehingga dikatakan bertuhankan kepada seseorang itu agak kasar dan melampau apatah lagi isunya berkisar Tuanku Permaisuri Agong yang menyantuni rakyat jelata dalam bulan Ramadan dengan masakan hidangan berbuka puasa. Apakah suatu kesalahan memberi tips-tips masakan kepada rakyat?

4. Gimik negara sudah bankrup dan majoriti rakyat sudah jatuh miskin adalah kata-kata retorik pemimpin-pemimpin parti hakikatnya mahu mendesak agar Parlimen bersidang. Selain ia merupakan hasrat si kemaruk kerusi PM, dalam masa yang sama menyelamatkan kluster mahkamah daripada di penjara. Kenyataan tokoh liberal itu adalah bayangan suara daripada puak kiasu cauvanis.

5. Begitu juga tuntutan kebebasan melampau yang seiring dengan perjuangan SUHAKAM, mungkin itu yang memberikan keberanian kepada penulis biadab menulis semasa dalam tahanan lokap kenyataan berikut: “Dalam negara di mana seorang pereka grafik disensor, ditangkap dan dilokap untuk karya seninya, adalah amat penting untuk ekspresi kreatif ini – parodi dan satira sebagai satu bentuk protes – terus diamalkan dan dipertahankan”. Tidak dinamakan kebebasan jika matlamatnya untuk menyakiti hati orang lain khususnya autoriti tertinggi seperti Tuanku Permaisuri Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang tidak terlibat dengan kemelut politik berebut kerusi.

6. Kedudukan sistem dan institusi Raja-Raja Melayu (RRM) di Malaysia sangat berkait-rapat dengan pendekatan Islam yang diterima oleh orang-orang Melayu Islam sejak lebih 500 tahun dahulu, ia ada kategori dan nuansa tersendiri. Bercakap tentang kategori dan nuansa institusi RRM kepada orang-orang Melayu Islam yang telah ditanam dengan pendekatan Islam modenis dan reformis dalam tempoh berapa dekad yang lalu tidak akan memberi apa-apa makna besar dan penting dalam jiwa mereka.

7. Sepatutnya pada saat negara sedang dilanda wabak berbahaya ini, kita jangan terlalu terikut-ikut dengan propaganda politik yang dimainkan oleh puak liberal yang sangat mengagung-agungkan kemajuan dan kebebasan menurut acuan Barat. Sebagai contoh apakah boleh kita menghina ibu bapa orang lain dengan alasan satira dan parodi sedangkan ia bukan budaya negara kita. Biadab dan kurang ajar tidak pernah menjadi budaya kita. Rukunegara meletakkan antara prinsipnya ialah Kesopanan dan Kesusilaan telah dicabuli dengan ganas oleh golongan liberalis.

8. Walaupun ada pelbagai bentuk penghinaan dilemparkan ke atas RRM contohnya seperti yang pernah tular meluas oleh FB Sabah Sarawak Merdeka terutamanya terhadap YDPA atau kerabat, namun sehingga ke hari ini sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi, sehinggalah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), dan terbaru dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah ada mana-mana pihak berkuasa yang mengenakan tindakan tegas dan keras apabila ada yang menghina institusi hak orang Melayu dengan sindiran: “Mereka (RRM) dijamin oleh Perlembagaan, diberikan kemewahan, kaya dan Anwar pun mencium tangan mereka,” tulis A Kadir yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.

9. Semua perbuatan melampau menghina RRM ini berlaku sejak zaman BN lagi, itu sebabnya sampai sekarang pun rakyat biadab hasil didikan fahaman liberal ini sudah berani menghina RRM, lebih malang lagi dan menyedihkan apabila orang-orang Melayu sendiri yang menghina Raja-raja mereka. Budaya tradisi orang Melayu adalah bersifat sopan santun dan berbudi pekerti tinggi sudah semakin tandus hasil penerapan budaya Barat yang biadab lagi kurang ajar.

10. Sikap anti-Raja ini bukanlah sekadar dari kalangan sosialis-liberalis sekular tapi juga dari modenis-reformis Islam yang turut memberikan keberanian kepada generasi Melayu Islam menjadi tidak beradab kepada institusi Raja, malah ia juga merupakan fenomena lebih awal yang mencetuskan keberanian baru bagi kelompok sosialis-liberalis ketika ini. Bahannya adalah anak-anak muda Melayu yang melawan budaya, adat dan adab sendiri. Fenomena bentuk baru ini tiada lain bersumberkan kepada kerangka dan pandangan alam yang terbentuk daripada fikrah moden.

11. Anak-anak muda ini majoritinya anak-anak muda Islam, anak-anak kita juga, selama beberapa dekad mereka dibesarkan dengan propaganda modenis-reformis Islam yang anti-Tradisi termasuklah anti-Raja. Itulah hasilnya sekarang. Sosialis-Liberalis sekadar oportunis menangguk faedah daripada kesilapan pemikiran modenis-reformis Islam yang telah ditanam dalam jiwa anak-anak kita. Usaha pendidikan yang lebih serius diperlukan agar fikrah yang baik lagi subur dapat membentuk pandangan alam Islam lalu munculnya jati diri yang jelas lagi berwibawa.

Haji Rashidi Haris
Ketua Aktivis MUAFAKAT
Ketua Media PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button