Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 April 2022 – “Apabila gaji minimum RM1,500 baharu berkuat kuasa bulan depan, harga barang mungkin naik lebih tinggi lagi,” kata Pengerusi Persatuan Peruncit Penyediaan dan Pelbagai Barang Klang Tan Teck Hong.
Jelasnya, harga makanan dan barangan seperti kertas tandas, beg plastik dan barangan lain secara keseluruhannya dijangka akan meningkat bulan depan berikutan perang di Ukraine masih berlanjutan dan menaikkan harga global.
BACA: Naikkan Harga Atau Tiga Juta Telur Tiada Ramadhan Ini — Lee Yoon Yeau
BACA: Dunia Bakal Kebuluran Harga Barang Melambung
BACA: Daging Naik Harga Sempena Ramadan
“Pengilang telah memaklumkan kepada kami bahawa kertas tandas dan beg kertas akan meningkat sebanyak lapan hingga sepuluh peratus. Pendapatan pengguna tidak setanding dengan peningkatan harga yang mendadak.”
“Pengguna akan mula mengubah corak penggunaan mereka. Daripada menyimpan stok, mereka akan mula membeli barang hanya apabila mereka mula kehabisan,” kata Tan menurut The Malaysian Insight.
Menurutnya juga, harga kicap, perasa dan tepung juga naik secara drastik.
Harga makanan dalam tin yang telah meningkat 10 ke 20 peratus sejak awal tahun itu dijangka meningkat sehingga 50 sen, berbeza dengan kebiasaannya yang naik hanya 10 hingga 20 sen.
“Ini termasuk sardin dalam tin yang 80 sen lebih mahal manakala kacang soya dan sos tomato naik 50 sen bergantung kepada jenama,” kata Tan.
Peningkatan harga ini juga berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan kos pengangkutan dan penghantaran yang melambung serta kekurangan bekalan di seluruh dunia.
Hal ini dipersetujui oleh Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Pelbagai Malaysia Hong Chee Meng yang berkata harga barangan yang tinggi akan memberi tekanan kepada peniaga dan pengguna.
“Perang di Ukraine telah menyebabkan kekurangan bekalan gandum global, bermakna harga tepung akan meningkat, tetapi kita masih tidak tahu berapa banyak,” ujarnya.
Presiden Persatuan Kedai Runcit Perak Chuah Seong Kok menambah bahawa harga makanan dalam tin telah meningkat secara konsisten sejak tahun lepas.
“Sebab utama untuk ini adalah wabak, diikuti dengan penutupan yang menjejaskan pengeluaran. Terdapat juga masalah rantaian bekalan global dan kekurangan bekalan yang perlu dihadapi.”
“Walaupun banyak negara kini berada dalam pemulihan ekonomi, perang Ukraine memusnahkan segala-galanya kerana ia kini menjejaskan harga bahan mentah dan kos pengangkutan.”
Chuah berkata pengguna boleh menjangkakan gelombang kenaikan harga akan berterusan untuk masa hadapan.