Antarabangsa

Pemandu Pelancong Wartawan Israel Berjaya Ditangkap

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MEKAH, 23 Julai 2022 – Susulan pencerobohan wartawan Israel ke dalam kota suci umat Islam baru-baru ini, pihak berkuasa Mekah berjaya menangkap seorang warganegara Arab Saudi yang didakwa berkomplot membawa wartawan itu masuk ke tanah suci.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Keselamatan Awam Arab Saudi, individu tersebut ditangkap kerana telah membawa dan memudahkan perjalanan masuk seorang wartawan Israel bukan Islam mengikuti laluan yang dikhaskan untuk umat Islam sahaja.

Perkara tersebut merupakan pelanggaran yang jelas terhadap larangan masuk bagi orang bukan Islam, yang sudah lama ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Lelaki yang dipercayai merupakan pemandu pelancong wartawan tersebut ditangkap dan tindakan undang-undang telah dikenakan terhadapnya.

Kenyataan itu turut menekankan keperluan menghormati dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kepada semua pelawat Arab Saudi, terutamanya berkaitan dua masjid suci umat Islam dan tanah suci.

“Sebarang pelanggaran seperti ini dianggap sebagai jenayah yang tidak akan diterima, dan hukuman akan dikenakan kepada pelakunya berdasarkan peraturan tertentu,” tegasnya.

Mengakhiri kenyataan tersebut, pihak berkuasa Mekah menyatakan bahawa kes wartawan yang melakukan jenayah tersebut sudah dirujuk kepada pendakwa raya untuk diambil tindakan yang sepatutnya.

Samudera.my sebelum ini melaporkan bahawa seorang wartawan media Israel berjaya menyelinap masuk ke dalam kota suci Mekah yang hanya boleh dikunjungi oleh umat Islam sekali gus membuat rakaman video dirinya di kota suci tersebut.

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: