Tempatan

SIRIM Diarah Hasilkan Pam Air Berkuasa Tinggi Tempatan, Atasi Banjir

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA TINGGI, 10 Januari 2023 – Kerajaan mengarahkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) menghasilkan mesin pam air berkuasa tinggi tempatan bagi mengatasi masalah banjir termasuk banjir termenung di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu sedikit sebanyak dapat menghentikan kebergantungan negara kepada pam air berkuasa tinggi yang diimport dari luar negara.

“Saya minta SIRIM keluarkan pam air berkuasa tinggi kerana tahun lalu di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat sudah luluskan pam-pam kuasa tinggi untuk dibekalkan.

“Oleh kerana pam-pam ini kena beli melalui tatacara pembelian kewangan maka ia belum sampai. Oleh yang demikian saya minta SIRIM keluarkan produk tempatan dengan pam kuasa tinggi, jadi kita tidak perlu lagi import melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya pada Selasa.

Tambahnya lagi, kerajaan turut meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membuat tempahan sebanyak 20 unit tambahan bagi pam penapis air yang direka SIRIM.

Katanya, semalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima sebanyak tiga pam penapis air yang akan digunakan sebagai pam bergerak di kawasan yang terputus bekalan air.

“SIRIM mereka bentuk penapis air untuk mendapatkan air bersih. Pada hari ini (Selasa), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah menerima tiga pam penapis air yang dihasilkan SIRIM.”

“Saya sudah minta NADMA untuk menempah 20 lagi tambahan untuk digunakan di kawasan terputus bekalan air dan ia juga akan dijadikan stok untuk tujuan kegunaan akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: