Berkuatkuasa 1 Oktober, Kenderaan Singapura Wajib Ada Permit Masuk Malaysia
PUTRAJAYA, 28 Mei 2024 – Semua kenderaan asing dari Singapura wajib mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP) mulai 1 Oktober ini.
Memetik laporan tempatan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penguatkuasaan VEP ini bertujuan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia.
Ia akan dikuatkuasakan di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.
Bagaimanapun, tambah beliau, “Sesiapa yang memandu kenderaan asing tanpa VEP sebelum memasuki Malaysia atau semasa berada di negara ini adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan seperti termaktub dalam Seksyen 119 (2) Akta 333.”
Tegas Anthony lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana kenderaan asing tanpa VEP memasuki Malaysia, selain menghalangnya daripada meninggalkan Malaysia sekiranya terdapat perkara yang tidak diselesaikan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 66J Akta 333.
“Ini bermakna jika mereka melakukan kesalahan jalan raya atau mempunyai saman tertunggak, mereka perlu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum meninggalkan negara ini,” ujarnya.
“Mengikut rekod, hanya kira-kira 70,000 kenderaan bermotor berdaftar Singapura yang telah mendaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan bermotor yang mendaftar tetapi belum menyelesaikan proses pemasangan dan pengaktifan tag VEP mereka” jelas beliau.