Tempatan

Berkorban Demi Kemerdekaan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Sepang, 25 Ogos 2022 – Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara adalah acara yang sangat dinantikan oleh suku kaum Orang Asli Mah Meri di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek.

Bagi mereka, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara juga bererti hari memperingati semangat nenek moyang mereka, khususnya yang terkorban semasa ancaman komunis serta pengorbanan lain yang mereka lakukan termasuk terpaksa berpindah meninggalkan petempatan asal.

“Ramai dalam kalangan nenek moyang kami yang turut terkorban demi menghadiahkan kemerdekaan ini kepada kita semua,” kongsi Tok Batin Taha Akhir.

Menurutnya, walaupun sejarah pembabitan Orang Asli dalam perjuangan kemerdekaan negara tidak banyak diketahui oleh masyarakat umum, namun kisah pengorbanan nenek moyang mereka sentiasa diceritakan oleh orang-orang tua mereka.

Dalam pada itu, Taha turut berkongsi mengenai persiapan yang dilakukan penduduk bagi meraikan sambutan itu.

“Antara aktiviti yang bakal diadakan ialah pertandingan mewarna bendera bagi kanak-kanak bawah 10 tahun dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung.”

“Selain itu, kita juga mengadakan aktiviti memasang Jalur Gemilang di setiap rumah, pertandingan badminton, menganyam ketupat selain karaoke lagu-lagu patriotik dan zumba,” katanya.

Katanya, pada malam ambang merdeka, persembahan kebudayaan Mah Meri akan diadakan untuk mengetengahkan tarian tradisional suku kaum tersebut iaitu tarian ‘tengkeng’.

“Penari wanita akan menari mengikut rentak lagu tradisional yang dialunkan menerusi alat muzik seperti hentakan kayu buluh, jule (biola), rebana dan tawa (gong tembaga),” jelasnya

Mah Meri adalah antara 18 suku kaum Orang Asli yang ada di Semenanjung Malaysia. Turut dikenali sebagai Orang Laut, sebahagian besar etnik Orang Asal ini boleh ditemukan di Selangor, khususnya di persisiran pantai di sini dan juga Pulau Carey.

Majoriti mereka beragama Islam, namun separuh lagi masih berpegang pada animisme serta adat resam nenek moyang mereka.

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: