Berita Kenaikan Harga Wujudkan Tekanan Psikologi Ramai – Kaunselor Psikologi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2022 – Keadaan tekanan ekonomi meruncing yang mengakibatkan kos sara hidup meningkat menyebabkan ramai rakyat Malaysia terpaksa mendapatkan khidmat kaunselor, menurut laporan The Malaysian Insight.
Pengasas merangkap kaunselor psikologi Pusat Perkembangan Psikologi D’Dawn, Tan Chee Seng mendedahkan bahawa pusat kaunselingnya menerima banyak panggilan daripada mereka dalam lingkungan usia 30 hingga 40 tahun yang tertekan dengan masalah ekonomi ini.
Beliau berkata, “Berita mengenai kenaikan harga sudah cukup untuk mewujudkan tekanan psikologi bagi ramai orang.”
“Berita sebegini memberi mereka gambaran mengenai kehidupan. Mereka dapat merasakan tekanan yang pendapatan tidak seiring perubahan keadaan ekonomi.”
“Semasa pandemik, ramai bimbang mengenai pekerjaan dan tekanan yang dicetuskan oleh pendapatan tidak stabil. Mereka fikir tekanan akan berlalu apabila keadaan mula kembali kepada keadaan normal.”
“Mereka sangat kecewa. Sebaliknya, tekanan lain menyusul.”
“Untuk menangani beban kerja yang tertunggak akibat penutupan secara paksa tempat kerja, mereka bukan sahaja mempunyai timbunan kerja untuk ditangani, tetapi perlu berhadapan dengan bos yang sama tertekan.”
“Kerja lebih sibuk dan menekan dan mereka yang mempunyai keluarga mendapati lebih banyak tekanan menunggu di rumah kerana perlu membantu anak-anak menyelesaikan kerja sekolah sebelum kelas fizikal disambung semula.”
Presiden Befrienders Johor Bahru Danny Loo juga mendedahkan perkara yang sama, pihaknya menerima banyak panggilan yang berkaitan masalah kewangan peribadi.
“Selepas kebanyakan sekatan pandemik ditarik balik dan ekonomi dibuka semula pada April, orang ramai yang kembali bekerja mendapati harga barang mula melambung tinggi.”
“Mereka yang bergaji juga mendapati tidak dapat menampung kenaikan harga. Gaji mereka tidak naik sama.”
“Gaji dibawa pulang masih sama manakala harga makanan terus meningkat. Kehidupan tiba-tiba menjadi lebih sukar,” kata beliau.