Tempatan

Berita Guru & Anggota Polis Maut Selepas Vaksinasi Tidak Benar – Polis

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PORT DICKSON, 5 April 2021 – Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed menafikan kematian seorang guru wanita berusia 54 tahun yang tular di media sosial baru-baru ini adalah disebabkan pengambilan vaksin Covid-19.

“Berita yang tular ini adalah tidak benar dan pihak polis menafikan punca kematian mangsa disebabkan pengambilan vaksin.”

Ujarnya, siasatan hospital mendapati bahawa mangsa yang meninggal mempunyai rekod rawatan penyakit kronik sejak setahun lalu.

“Siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa meninggal dunia mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun lalu.”

Mengulas lanjut, Aidi berkata, pada 1 April (Khamis) lalu, jam lebih kurang 10.30 malam, mangsa mengalami sawan ketika berada di rumah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan.

“Mangsa diberikan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Port Dickson pada jam 12.20 tengah malam, 2 April lalu.”

Susulan penularan berita yang menimbulkan keresahan ramai ini, beliau menyatakan pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuat penyebaran berita tidak benar atau sebarang kenyataan di media sosial yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.”

Di Ipoh pula, pihak polis akan mengambil tindakan ke atas pemilik akaun Facebook ‘Junaidah June’ kerana memuat naik berita palsu mendakwa seorang anggota polis di Gerik meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.

“Berita kematian anggota itu tidak benar. Dia sebenarnya sedang menerima rawatan di Hospital Taiping kerana mengalami masalah jantung tersumbat,” kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Tambahnya, “Anggota itu stabil dan sedar sepenuhnya. Dia akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.”

Berita mengenai anggota polis ini tular di media sosial selepas ‘Junaidah June’ memuat naik berita menyatakan kononnya seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 58 tahun yang bertugas di Lawin, Gerik meninggal dunia akibat komplikasi pengambilan dos kedua vaksin Covid-19.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button