Antarabangsa

Sanggup Berkorban Nyawa Untuk Negara, Ahli Parlimen Australia Berucap Dalam Bahasa Melayu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AUSTRALIA, 8 September 2022 – Sam Lim, seorang ahli parlimen Australia telah menggunakan Bahasa Melayu dalam ucapannya susulan memenangi kerusi parlimen Tangney, sebuah wilayah di kawasan barat Australia.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Muar, telah menzahirkan penghargaan kepada warga Malaysia yang telah menyokongnya.

“Kepada semua saudara yang berada di Malaysia, Australia dan seluruh pelusuk dunia, terima kasih atas semua perhatian dan berkat yang anda berikan kepada saya,” ujarnya, seperti yang dilaporkan sebuah portal tempatan.

“Terima kasih atas semua sokongan dan bantuan anda semasa pilihan raya di Australia, terima kasih semua,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Sam Lim pernah menyumbang bakti kepada negara apabila berkhidmat di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai seorang konstabel. Beliau kemudiannya berkhidmat pula di bawah Polis Australia pada tahun 2006, empat tahun setelah berhijrah ke sana.

Dalam ucapannya, Sam Lim menceritakan pengalaman pahit gerih beliau yang lahir dalam keluarga yang susah.

“Keluarga saya tidak mampu membayar untuk elektrik atau air. Kami perlu menggunakan kayu pokok getah untuk memasak. Lantai kami dibuat dari tanah. Atap kami bocor, dan tandas kami hanyalah lubang yang digali di tanah,” ujar beliau.

Beliau turut menceritakan bagaimana ibu bapanya yang merupakan penoreh getah hidup kais pagi makan pagi dalam membesarkan beliau dan adik-beradik.

Dalam meluahkan rasa patriotiknya, Sam Lim turut menzahirkan rasa bangganya terhadap anak bongsu beliau yang kini bertugas sebagai anggota Tentera Laut Australia.

“Saya dan anak saya bukan ‘fighter’. Kami sukakan kedamaian… Tetapi sekiranya negara memerlukan khidmat kami, kami bersedia bergadai nyawa,” tegas beliau dalam ucapannya.

Sam Lim merupakan anggota Labour Party di Australia yang berjaya ‘menumpaskan’ dominasi Liberal Party di wilayah Tangney, di mana parti lawannya telah berjaya mendominasi undi wilayah terbabit semenjak tahun 1953. Dalam permulaan ucapannya juga beliau berterima kasih kepada lokaliti yang memilih untuk memberi beliau dan partinya kemenangan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: