Antarabangsa

Berhala 800kg ‘AlUla’ Dipamerkan Di Muzium Louvre Paris

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PARIS, 08 September 2022 – Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini telah mempersembahkan sebuah patung seberat 800kg yang jarang ditemui dari zaman Lihyanite yang dipamerkan di Muzium Louvre, Paris baru-baru ini.

Lapor agensi media Arab, patung tersebut diukir dalam batu pasir dan posisi lengannya di kedua-dua sisi badan dengan kaki yang lurus. Ia menyerupai sebuah sosok maskulin yang berdiri tegak ke hadapan dengan gaya statik dan berukuran 2.3 meter tinggi walaupun kepalanya telah hilang.

Patung itu ditemui di tapak arkeologi Dadan, oasis AlUla moden, di barat laut Arab Saudi oleh pasukan Universiti King Saud, Riyadh semasa melakukan galian dari 2003 hingga 2019. Ia dikatakan menggambarkan seorang raja Lihyanite, imam atau seseorang yang sedang berdoa.

Pengarah Muzium Louvre, Laurence des Cars mengatakan bahawa patung berkenaan adalah simbol penting melambangkan permulaan kerjasama kebudayaan antara Perancis dan Arab Saudi.

“Ia adalah karya agung arca purba yang membuktikan penyelidikan arkeologi yang dilakukan Kerajaan Arab Saudi selama lebih 20 tahun, seiring dengan kerjasama Perancis.”

Laurence turut menzahirkan keterujaan kerana dapat mempamerkan karya itu selama lima tahun kepada pengunjung muzium tersebut selepas perjanjian rasmi antara pihak muzium dan Suruhanjaya Diraja untuk AlUla (RCU) diadakan.

November lalu, pasukan Arab Saudi turut menemukan patung kedua yang hampir sama saiznya namun sedang dalam proses pemuliharaan dan pemulihan.

“Kami mendapatkan semula patung itu, berjaya menstabilkannya, dan kini kami sedang bekerja dan berusaha untuk memuliharanya sebelum dipamerkan semasa pameran,” jelas Dr Abdulrahman Alsuhaibani, Pemangku Pengarah Eksekutif Koleksi RCU.

Kota Dadan merupakan tapak lama bagi ibu kota Kerajaan Dadan dan Lihyan dan pertama kali ditemukan oleh penyair dan pengembara Inggeris, Charles Montagu Doughty pada tahun 1876.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: