Berasa Tidak Ditolong Oleh ALLAH SWT Mungkin Punca Penghinaan Agama
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 Julai 2022 – Pelaku yang bertindak menghina agama Islam berkemungkinan berasa tidak ditolong oleh Allah SWT pada saat mereka memerlukan pertolongan, demikian menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Beliau berkata, kemungkinan tersebut adalah berdasarkan kepada penilaian yang dibuat dari kes-kes penghinaan terhadap agama Islam yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Mohd Zawawi Ahmad Mughni bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima laporan khusus tentang punca munculnya gejala penghinaan terhadap agama Islam yang telah berlaku.
Justeru, selepas tular beberapa siri kes penghinaan terhadap agama Islam, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor lebih cenderung melihat kepada usaha-usaha membendung dari sudut menjernihkan kefahaman terhadap Islam, ketuhanan dan amalan-amalan sama ada dalam kalangan umat Islam atau bukan Islam amnya.
Selain itu, Kerajaan Selangor menyeru kepekaan ahli-ahli keluarga dan rakan taulan yang rapat dengan individu-individu berkenaan segera bertindak membantu dan melorongkan mereka ke jalan yang betul.
Kerajaan Selangor juga menggalakkan agar kuliah-kuliah tidak dijalankan secara statik di masjid dan surau sebaliknya perlu dilaksanakan di pelbagai lokasi tumpuan masyarakat menggunakan kaedah lebih santai dan bersahaja dengan menumpukan kepada isu-isu ketuhanan dan kekuatan mental serta spiritual umat Islam agar sentiasa bersangka baik kepada ALLAH SWT.
“Kerajaan Selangor menyeru agar masyarakat di negeri ini menyemai dan mempraktikkan konsep Fiqh Ta’ayyush (hidup bersama) dalam negara yang majmuk sifatnya ini agar sentiasa saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat.”
Dalam perkembangan terkini, Siti Nuramira Abdullah, seorang wanita yang didakwa menghina Islam dalam sebuah persembahan komedi telah dibebaskan dengan ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, namun ditahan semula oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Nuramira ditahan sepasukan pegawai JAWI dan difahamkan dia akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pada esok atau lusa,” jelas peguamnya R. Sivaraj.