Bentuk Pasukan Pengaman Negara Islam & Jenamakan Semula OIC – Mantan Timb. Ketua Menteri P. Pinang
PENJENAMAAN SEMULA OIC & PEMBENTUKAN SEGERA PASUKAN PENGAMAN UNIC
Bismillahi Allahu Akbar, wassolatu wassalamu’ala Rasulihil Kareem, wa ‘ala alihi wasohbihi ajmain. Amma ba’du.
1- 75 tahun derita tanpa berkesudahan yang dilalui oleh umat Islam Palestin tidak boleh lagi dipandang ringan. Kebertanggungjawaban penuh serta tindakan tegas harus segera diambil oleh seluruh dunia Islam bagi membebaskan Palestin dan mengembalikan kedamaian kepada umat Islam Palestin.
2- Telah sampai ketikanya OIC dijenamakan semula dengan menamakan entiti baru iaitu UNIC (UNITED NATIONS of ISLAMIC COUNTRIES) bagi menentukan sendiri survival dan membela kepentingan maslahah seluruh dunia Islam. Semakin ketara kini UN (United Nations) tidak lagi boleh diharapkan untuk benar-benar membela nasib umat Islam. Semakin hari semakin sirna pembelaan yang diperlukan untuk menyelamatkan nasib dunia Islam.
3- Penggembelingan tenaga dan kepakaran seluruh dunia Islam harus segera disatukan di bawah wadah yang lebih bertanggungjawab dan berani mengambil langkah tegas (affirmative action) demi menyelamatkan maruah dan nyawa serta kebajikan dunia Islam.
4- Umat Islam tidak lagi boleh berdiam diri sahaja dalam mendepani pelbagai bentuk kezaliman yang berterusan ini khususnya terhadap Baitulmuqaddis dan bumi mulia para anbiya’ – Palestin. Oleh yang demikian penyelesaian “two-state solution” WAJIB DITOLAK oleh semua dunia Islam kerana ianya ternyata zalim dan tidak benar dalam mewakili kebenaran serta pembelaan nasib umat Islam Palestin yang sekian lama dizalimi oleh rejim Yahudi-Zionis Israel. Hakikatnya Palestin seluruhnya adalah milik umat Islam, maka ianya wajib dikembalikan kepada yang berhak iaitu kemerdekaan mutlak daripada apa jua bentuk penjajahan dan kezaliman Yahudi-Zionis Israel.
5- Telah sampai masanya Malaysia memimpin kebangkitan negara-negara Islam dalam membentuk Front Pembela Ummah (FPU).
6- Melalui penjenamaan semula OIC kepada UNIC, suatu tindakan afirmatif harus segera diambil dengan memanggil sidang khasnya untuk mengatur langkah tegas dalam menamatkan kezaliman di bumi Palestin itu. Pembentukan pasukan khas tentera-tentera pengaman UNIC wajar segera dihantar bagi membina semula keamanan dan menyelamatkan nasib umat Islam Palestin serta membebaskan bumi Palestin seutuhnya.
7- Malaysia juga harus memanfaatkan ASEAN sebagai satu lagi “front” yang boleh dimobilisasikan demi membela umat Islam Palestin di atas nama kemanusiaan dan pembelaan keadilan.
8- Kesungguhan pimpinan umat ini amat diperlukan dalam melaksanakan agenda kebangkitan Ummah yang telah lama dinantikan demi membebaskan bumi Palestin dari cengkaman kezaliman zionis Yahudi.
HasbunAllahi Wani’mal Wakeel.
“Pertahankan dan Perjuangkan Kedaulatan Syiar Islam, maruah umat Melayu serta kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negara bertuah ini, tanah Melayu bumi berdaulat.”
Oleh :
Datuk Dr. Mohammad Fairus Bin Khairuddin.
Mantan YB Timbalan Ketua Menteri 1, merangkap Exco Hal Ehwal Islam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
19/ 10/ 2023.