Iqtisad Pribumi

Monopoli: Malaysia Di luar Tabie Era Dunia Nyahpenswastaan – Hezri Sardi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Monopoli vs Penswastaan.

Akhir akhir ini, Kerajaan galak bersuara ke arah memecahkan MONOPOLI. Pecah Monopoli BERNAS. Pecah Monopoli Touch n Go. Pecah Monopoli PUSPAKOM.

Pokoknya, menurut politikus, MONOPOLI ialah buruk kerana nama ia MONOPOLI. Kalau Monopoli jahat, kenapa ia tidak dibawa ke mahkamah? Tentu sebab ia tak salah.

Menurut Akta Persaingan 2010, Seksyen 4, akta hanya terpakai kepada kegiatan komersil tetapi 3 di bawah bukan dikira kegiatan komersil:
Seksyen 4(a), kegiatan melaksanakan kuasa kerajaan.
Seksyen 4(b), kegiatan untuk kemaslahatan umum.
Seksyen 4(c), pembelian bukan untuk kegiatan ekonomi.

Perkhidmatan daripada Kerajaan kepada rakyat bukan satu perniagaan. Bukan saja di Malaysia malah takrifan serupa dipakai di mana mana negara maju.

Kalau monopoli dipecahkan pun, ia supaya sesuatu perkhidmatan menjadi lebih baik. Bukan sebab monopoli itu jahat. Dianggap kalau ada lebih daripada satu pihak menyedia perkhidmatan Kerajaan, kononnya akan lebih cekap dan tiada rasuah.

PUSPAKOM yang Kerajaan nak kacau tadi ialah syarikat Bumiputera kerana anak syarikat DRB-HICOM. Yang kerja di situ pun Melayu. Ia monopoli perkhidmatan Kerajaan iaitu pemeriksaan kenderaan tetapi di mana-mana di dunia pun monopoli perkhidmatan kerajaan datang dengan kekangan tertentu daripada Kerajaan. Misalnya, harga dikawal Kerajaan.

Di seluruh dunia terutamanya negara-negara maju pada 1980an dan 1990an, mereka menswastakan perkhidmatan Kerajaan secara besar-besaran. Trend ketika itu ialah dasar ekonomi neoliberal. Pada 1990an pula, entiti Kerajaan yang diswastakan atau dijadikan syarikat itu didapati tidak memberi mutu perkhidmatan baik. Mereka menganggap punca ialah kerana syarikat swasta itu beroperasi secara monopoli. Maka dihapuskan monopoli dan ditambah pesaing. Tapi apa yang berlaku, mutu perkhidmatan tetap tak meningkat, malah amalan “rasuah” , “under table” masih berlaku.

Mereka pun mengambil keputusan untuk mengubah balik perkhidmatan diswastakan menjadi Kerajaan atau entiti bukan keuntungan. Ini kerana masalah didapati berpunca daripada sifat entiti itu yang bermotifkan keuntungan. Ia dipanggil sama ada reverse privatisation, de-privatization, re-municipalization atau re-nationalization.

Ada beberapa organisasi antarabangsa yang buat kajian pasal ini iaitu Public Service International (PSI), Transnational Institute (TI), Corporate Europe Observatory (CEO). Data juga boleh diperoleh daripada Pertubuhan Kerjasama Pembangunan Ekonomi (OECD).

Sekarang 2023. Sejak tahun 2000 hingga 2020, ada 1,484 perkhidmatan swasta yang telah mengalami de-privatization di-nyah-swasta.

Pecahan bilangan kes mengikut tempat:
Amerika Syarikat / Kanada – 292
Eropah barat – 605
Eropah utara (Scandinavian) – 212
Eropah selatan – 140
Amerika Selatan – 93
Australia/ New Zealand- 62
Asia Tenggara – 43
Afrika – 23
Hong Kong – 23
Eropah timur – 14
India – 13
Arab – 5
Asia tengah – 4
Amerika tengah – 7

Negara paling banyak penyahswastaan – Jerman (400), Amerika Syarikat (239), Perancis (164), Sepanyol (133), UK (117).

Paling banyak berlaku dalam perkhidmatan elektrik, kemudian air dan ketiga perkhidmatan kerajaan. Pemeriksaan kenderaan dikira dalam kategori ketiga tadi, perkhidmatan kerajaan.

Hasil kajian juga mendapati 3 alasan utama oleh pihak yang buat penyahswastaan. Pertama, kualiti perkhidmatan swasta rendah dan apabila tidak lagi swasta, mutu meningkat.
Kedua, kos swasta mahal dan apabila tidak lagi swasta, harga menjadi murah.
Ketiga, kerana manifesto parti politik.

Alasan ketiga itu tak terpakai di Malaysia kerana parti politik Malaysia yang jadi Kerajaan tak tunaikan janji pilihan raya. Dua lagi sebab untuk menyahswasta ialah untuk kualiti yang lebih baik dan harga lebih murah.

Malaysia tak banyak kes menukar balik perkhidmatan swasta kepada awam. Kalau berlaku pun, Pelabuhan Kuantan pada 2021, Pelabuhan Johor pada 2019, ECRL pada 2018, lapangan terbang Kulim pada 2020, Indah Water pada 2013, Keretapi Tanah Melayu pada 2009.

Untuk menyahswasta tol, Kerajaan pada 2021 telah menubuhkan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALRB), sebuah syarikat bukan bermotifkan keuntungan untuk mengambil alih pegangan dalam konsesi tol. Perkembangan nampak bergerak tapi senyap saja sejak Kerajaan baru.

Kesimpulannya, politikus di Malaysia memainkan naratif MONOPOLI walhal trend di seluruh dunia ialah de-privatization atau penyahswastaan. Pada pandangan saya juga, penyahswastaan lebih banyak menguntungkan kaum Bumiputera yang memang ketinggalan dari segi ekonomi dan kekayaan. Menghapuskan MONOPOLI oleh BERNAS, PUSPAKOM dan lain-lain lebih menguntungkan kaum yang menguasai ekonomi.

Hezri Sardi

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: