NGO

Saran PMX ‘Teliti Semula’ Perkara 153, Kenyataan MP Pasir Gudang Hanya Retorik – Presiden PUTRA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Pandangan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Abdul Karim mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti dilapor di dalam MalaysiaGazette kelmarin, menarik perhatian saya.

2. Beliau menyarankan agar PMX, Dato’ Seri Anwar Ibrahim “teliti semula” Perkara 153 yang (saya petik di sini) dalam para (1) berbunyi, “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

3. Untuk memancing sentimen orang Melayu, sememangnyalah lontaran kenyataan seperti yang dibuat oleh YB Hassan itu memberi mileage kepada seseorang ahli politik. Sedangkan ungkapan sedemikian tidak lebih dari retorik, bila mana dibangkitkan tanpa memberi sebarang rancangan jelas dari segi perlaksanaan. Oleh itu, saya mohon YB Hassan menyenaraikan langkah-langkah konkrit untuk melaksanakan idea seperti yang beliau lontarkan. Barulah idea beliau itu membawa makna.

4. YB Hassan seolah menyalah dan meletakkan keseluruhan beban ke atas bahu YABhg. Tun Dr Mahathir seorang sahaja berhubung setiap kelemahan perlaksanaan Perkara 153. Itu tidak adil. Banyak lagi faktor-faktor lain yang mengekang kelancaran program perlaksanaan hak orang Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ianya termasuklah sikap kebanyakan pemimpin dan orang Melayu sendiri yang tidak ikhlas, tamak serta suka mengambil jalan pintas untuk mencapai kejayaan.

5. Tidaklah dapat dinafikan betapa sejak kita mencapai kemerdekaan, kaum Melayu dan Bumiputera dari seluruh julat masyarakat telah menikmati sedikit sebanyak hasil program-program khas untuk mereka. Namun, tidak boleh dinafikan juga, bahawa terdapat banyak kepincangan dalam perlaksanaan dasar untuk memenuhi matlamat peruntukan dalam Perkara 153. YB Hassan telah pun menyenaraikan kepincangan-kepincangan tersebut. Seterusnya, tidak dinafikan sama sekali betapa perlaksanaan dasar dalam penghayatan Perkara 153 perlu dikaji, disusun, dirancang dan diperkasa semula.

6. Kini semangat dan peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan sudah tidak lagi dipedulikan dalam apa jua bentuk Dasar Pembangunan dan Belanjawan Negara kecuali sekadar sedikit cebisan di sana sini. Jika diambil kira Perkara 153, sepatutnya semua Dasar wajib berpandukan kepada agenda Melayu dan Bumiputera sebagai Agenda Nasional.

7. Seharusnya semangat Perkara 153 juga wajib diterjemahkan kepada pembahagian kek ekonomi negara mesti adil antara kaum mengikut nisbah jumlah setiap kaum dalam semua aspek dan peringkat, dan bukan setakat B40 sahaja.

8. Selagi jurang kedudukan ekonomi masih lebar antara kaum-kaum, maka Dasar dan Tindakan Afirmatif wajib dilaksanakan secara agresif kerana pembahagian kek ekonomi yang adil antara kaum sahajalah mampu menjamin keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara.

8. Hakikat yang di depan mata kita sekarang ialah kebanyakan orang Melayu dan Bumiputera masih miskin dan ketinggalan dari arus pembangunan negara. Merekalah yang terdiri dari majoriti golongan B40. Orang bukan-Melayu dan bukan Bumiputera memang ada di dalam golongan tersebut juga. Kita setuju mereka perlu dibantu melalui program-program khas. Namun, bilangan bukan Melayu dan bukan Bumiputera dalam kumpulan B40 tidaklah seramai orang Melayu dan Bumiputera.

10. Pada hemat saya, Proklamasi Orang Melayu yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir baru baru ini adalah penegasan semula semangat asal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kelangsungan kaum Melayu dan Bumiputera sebagai kaum majoriti dan kaum asal negara, tetapi tetap menghormati hak-hak kaum lain yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Sekian, Terima kasih dan Wassalam.

Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden
PARTI BUMIPUTRA PERKASA MALAYSIA

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: