Tempatan

Benarkan Pelarian Rohingya Kerja Di Sektor Formal – MEF

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2022 – Presiden Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman menuntut pihak Kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan dalam membenarkan pelarian Rohingya untuk bekerja di sektor formal.

Hal ini kerana, katanya, ‘Program Pilot’ yang pernah dilaksanakan sebelum ini yang membabitkan pelarian Rohingya didapati gagal berikutan etnik tersebut tidak berminat untuk bekerja di pedalaman.

Program itu didapati tidak mendapat sambutan biarpun etnik tersebut telah disediakan dengan tempat tinggal percuma serta kadar bayaran yang rendah bagi penggunaan bil elektrik dan air.

Oleh itu, beliau memohon kepada pihak Kerajaan untuk membenarkan etnik tersebut bekerja dalam sektor formal bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, baru-baru ini MEF dalam satu pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) telah pun membincangkan mengenai pelarian warganegara itu.

“Pertemuan itu membincangkan langkah dan strategi yang perlu diambil bagi meyakinkan Kerajaan untuk membenarkan pelarian di Malaysia bekerja di sektor formal,” ujarnya.

Jelas beliau, sekiranya pelarian itu dibenarkan untuk bekerja, pihak majikan bersedia untuk memberikan latihan semasa bekerja (OJT).

“Pada masa ini, majikan lebih berminat memberi OJT kerana ia lebih efisien dan masa bekerja tidak hilang. Konsep latihan di bilik darjah dilihat tidak sesuai untuk mereka yang sudah dewasa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata latihan boleh diberikan kepada pelarian itu untuk bekerja di sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan atau pelancongan yang dilihat sesuai kepada golongan tersebut.

Dalam pada itu, terdapat juga negara yang menyumbang dana sebanyak RM200 juta untuk digunakan sebagai pembiayaan latihan kepada pelarian Rohingya sebelum mereka diambil bekerja. Ia secara tidak langsung boleh dijadikan sebagai insentif kepada majikan yang mengambil serta memberi OJT kepada pelarian tersebut, katanya.

“Apa yang penting adalah keputusan Kerajaan mengenai pengambilan pelarian yang berada di Malaysia untuk bekerja,” katanya.

Beliau mengatakan bahawa sekiranya 60 peratus daripada 184,000 jumlah pelarian yang ada di negara ini diambil bekerja, ia sedikit sebanyak mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang sedang dihadapi ketika ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: