Tempatan

Belum Wujud Bukti Kukuh Hindutva Bertapak Di Malaysia – Munira Mustaffa

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2022 – “Sebenarnya, ada pelbagai ideologi pelampau di Malaysia dan di mana-mana sahaja, tetapi setakat ini masih belum wujud bukti kukuh yang meyakinkan bahawa ideologi Hindutva telah “bertapak” di Malaysia.”

“Bagaimanapun, kita perlu fahami dahulu apa itu ideologi pelampau Hindutva,” ujar Pengarah Eksekutif, Kumpulan Chasseur, Munira Mustaffa.

Jelasnya, Hindutva merupakan sebuah fahaman fasis kerana ideologi Hindutva mendukung konsep identiti nasionalis keagamaan yang menekankan kepercayaan bahawa India harus kekal dipelihara sebagai sebuah tanah air (“homeland”) khusus untuk penganut Hindu sahaja, dan mengatasi semua agama lain.

Menurut beliau, sejak India memperoleh kemerdekaan daripada jajahan British pada tahun 1947 dan berusaha membangunkan negara, ramai pendukung ideologi Hindutva bercita-cita mewujudkan sebuah identiti kaum majoriti (Hindutva), dan mereka tidak teragak-agak untuk mencapai hasrat ini menerusi kekerasan.

Jelas beliau lagi, ideologi Hindutva menyamakan identiti kebangsaan negara India dengan identiti Hindu dan ia menghalalkan penindasan bukan sahaja terhadap minoriti rakyat India yang bukan beragama Hindu, tetapi juga golongan orang Hindu berkasta rendah.

“Tetapi ideologi Hindutva belum benar-benar ‘di arus perdana’ sehinggalah Narendra Modi memenangi pilihan raya pada tahun 2014.”

“Disebabkan ideologi Hindutva ini maka berakar umbi konsep identiti nasionalis beragama Hindu di India.”

Namun, saya kurang bersetuju dengan dakwaan bahawa ideologi ini memberi ancaman terhadap Malaysia kerana ideologinya bukan ditujukan kepada kenegaraan kita – ia hanya memfokuskan India,” katanya.

Munira Mustaffa yang juga Felo Bukan Pemastautin di New Lines Institute, dan Felo di Verve Research menjelaskan, setakat ini, tiada sebarang tangkapan telah berlaku atau sesiapapun di Malaysia yang secara jelas mengisytiharkan bahawa mereka mendukung ideologi pelampau ini mahupun menghasilkan atau berkongsi sebarang manifesto berkaitan yang bertujuan untuk mempengaruhi orang lain atau membentuk sebarang kumpulan berkaitan.

Beliau berpandangan, fahaman pelampau biasanya berputik daripada kebencian yang timbul daripada perasaan syak wasangka atau bersangka buruk.

Justeru, di negara yang berbilang bangsa seperti Malaysia ini, cara terbaik untuk mengelak sebarang ideologi pelampau daripada menular adalah dengan terus menggalakkan jalinan hubungan baik, saling hormat-menghormati dan menyantuni antara satu sama lain, tidak kira perbezaan bangsa, kaum atau kepercayaan agama.

“Kita hidup dalam masyarakat berjiwa komuniti, jadi ini tanggungjawab kita sebagai anggota komuniti untuk memelihara kesejahteraan kita semua secara bersama,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button