Belanja Lebih RM45 Bilion, Objektif Zionis Tetap ‘Gagal’
KUALA LUMPUR, 28 November 2023 – Rejim Zionis Israel telah membelanjakan lebih RM45 bilion sepanjang 40 hari perang tercetus namun objektif ketenteraan mereka masih tidak tercapai.
Demikian ulasan Penyelidik Sains Politik Universiti Malaya (UM) yang juga rakyat Gaza, Palestin, Dr Belal Alakhras dalam satu kenyataan kepada akhbar tempatan baru-baru ini.
Menurut beliau, Israel dijangka akan memilih jalan damai dengan gerakan pejuang Hamas bagi mengelakkan perbelanjaan besar negara haram itu.
Jelasnya, “Untuk operasi ketenteraan, setiap hari rejim Zionis membelanjakan kira-kira RM1.1 bilion dan negara haram itu turut mendapat tekanan hebat daripada rakyatnya serta komuniti antarabangsa.”
“Pada masa sama, sepanjang tempoh gencatan senjata ini, sebanyak 150 pertukaran banduan membabitkan wanita serta kanak-kanak Palestin dengan tahanan Israel dilakukan. Daripada sudut ini, dapat kita lihat bahawa Israel gagal untuk memaksa Hamas dan penentangan Palestin untuk membebaskan tahanan Israel tanpa syarat atau melalui kekuatan tentera.”
Tambah Belal, tindakan rejim untuk memusnahkan Gaza dan membangkitkan kemarahan rakyat Gaza terhadap Hamas juga tidak berjaya apabila penduduk Gaza tetap tabah memberi dokongan penuh kepada Hamas.
“Tekanan luar terhadap rejim Zionis itu juga semakin meningkat setiap hari dan ini turut membabitkan ancaman pembabitan campur tangan ketenteraan daripada negara lain.”
Ujarnya, Israel tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada meneruskan rundingan damai dengan Hamas dan sekiranya itu terjadi, ia memberi kekalahan moral kepada rejim itu.