Bekas Pembantu Anwar Ibrahim, Yusuf Rawther Menang Saman Malu RM200,000
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 20 Oktober 2022 – Bekas pembantu Anwar Ibrahim, Muhammad Yusuf Rawther berjaya menang kes saman malu RM200,000 terhadap Setiausaha Akhbar (SUA) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah atas suatu kenyataan fitnah tiga tahun lalu.
Lapor berita tempatan, Mahkamah Seksyen memerintahkan agar Nashrul membuat bayaran ganti rugi berkenaan kerana memfitnah Yusoff. Hakim Ishak Bakri Yusof pula memaklumkan bahawa Yusoff telah membuktikan dakwaannya berhubung imbangan kebarangkalian.
Selain itu, peguamnya, Tetuan Haniff Khatri Abdulla dalam suatu kenyataan berkata, defendan juga diperintahkan membayar kos RM25,000 kepada Yusoff dan mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 45 hari dari semalam dan ia perlu diterima oleh Yusoff.
Dalam pada itu, Nashrul juga perlu menarik balik kenyataan fitnah yang dibuatnya pada 10 Jun 2019.
Sebelum ini, Yusoff telah memfailkan saman pada 12 September 2019 atas dakwaan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Nashrul yang telah menjatuhkan reputasinya di mata orang awam.
Selain saman tersebut, satu lagi saman turut difailkan terhadap setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi memohon pampasan atas kecederaan yang dialaminya selepas serangan.
Yusoff turut memfailkan saman terhadap presiden PKR, Anwar Ibrahim atas dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadapnya 10 hari sebelum memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018.
Yusoff mendakwa mengalami trauma psikologi, fizikal dan sosial yang serius akibat kejadian itu. Bagaimanapun, Anwar menafikan dakwaan tersebut dan kes itu masih belum selesai di mahkamah.