Tempatan

Beberapa Laluan Kuala Pilah Ditutup Menjelang Raya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA PILAH, 17 April 2023 – Beberapa laluan jalan raya dan lampu isyarat di daerah ini akan ditutup bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku pada musim perayaan Aidilfitri nanti.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, penutupan bermula 18 April hingga 5 Mei depan atas saranan Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

BACA JUGA: Gempa Bumi Tidak Boleh Diramal

BACA JUGA: Limbungan Kapal Bernilai Lebih RM2 Bilion Bakal Dibina Di Melaka

BACA JUGA: MUDA Wilayah Persekutuan Tuntut Datuk Bandar Dipilih, Bukan Dilantik

“Ia bakal dilaksanakan menerusi Pelan Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah oleh Jawatankuasa Pengurusan Lalu-Lintas Daerah Kuala Pilah.”

Penutupan lampu isyarat bermula di persimpangan Ampang Tinggi sehingga lampu isyarat di kawasan rehat Taman Rekreasi Ulu Bendul.

Penutupan tersebut akan menyebabkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Seremban Lama yang ingin menghala ke Seremban perlu membuat pusingan ‘U’ di persimpangan lampu isyarat di hadapan Pasaraya Giant Kuala Pilah.

Ini berikutan lorong menghala ke Seremban akan ditutup bagi melancarkan aliran trafik.

Selain itu, persimpangan masuk ke kawasan Bandar Kuala Pilah juga akan ditutup membabitkan persimpangan Jalan Undang Johol-Jalan Perpatih dan Jalan Dato’ Undang Johol-Jalan Dato’ Abdul Manap.

Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol–Jalan Ulu Muar pula akan dibuka dan hanya akan ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di dalam kawasan Bandar Kuala Pilah.

Dalam pada itu, bagi pengguna yang ingin memasuki ke kawasan Bandar Kuala Pilah dari arah Jempol perlu melalui lorong bersebelahan Bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit seterusnya melalui Jalan Perpateh.

Pihaknya turut mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak mengalihkan halangan (road barrier) yang diletakkan bagi tujuan keselamatan kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan orang ramai dan juga diri sendiri.

“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa jika insiden seperti ini berlaku lagi seperti sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: