Tempatan

Beban Kenaikan Harga Sering Ditolak Kepada Rakyat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2022 – “Kenapa beban kenaikan harga selalu ditolak kepada rakyat marhaen atau rakyat biasa?” soal Dr Mathen Nair, Jawatankuasa Etika Penyelidikan Parti Ikatan Demokratik Malaya (MUDA) dalam rakaman yang dimuatnaik di laman Twitternya baru-baru ini.

Berikutan situasi ketidakstabilan ekonomi negara ketika ini, Dr Mathen meluahkan kekesalannya apabila golongan atasan tidak dipotong gaji sedangkan rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan harga.

“Bantuan one off RM100 yang diberikan oleh PM Ismail Sabri tidak mencukupi. Takkan orang nak makan ayam dan telur sebulan sahaja,” luahnya.

Menerusi rakaman itu, beliau turut mencadangkan beberapa solusi agar impak kenaikan harga tidak begitu besar, seperti melaksanakan kawalan harga.

“Tengok di negara-negara lain juga ada aduan yang sama. Apa yang mereka mendesak adalah kawalan harga. Jangan pada masa ini nak keluarkan harga siling ayam dan telur, orang nak makan tak ada duit.”

Selain itu, bagi menjamin bekalan makanan, beliau mencadangkan agar negara mula melaksanakan perancangan untuk kelestarian dan pengeluaran sumber makanan yang sudah menjadi kebiasaan di negara kita seperti ayam dan telur.

“Malaysia perlu labur dalam kaedah-kaedah pertanian moden dan teknologi-teknologi sedia ada,” tambahnya.

Kata Dr Mathen, insentif perlu diberi kepada mereka yang sudah menceburi bidang pertanian moden dan juga kepada anak muda yang sedang mencari kerja untuk bergiat dalam bidang pertanian.

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara yang subur dan mempunyai keluasan tanah. Pakar bidang pertanian juga mengatakan bahawa pertanian moden ini berhasil dan lebih produktif.

Samudera.my sebelum ini melaporkan bahawa harga ayam segar bakal melonjak melebihi RM12 apabila harga siling bahan mentah itu tidak lagi dikuatkuasakan bermula 1 Julai ini.

Namun, baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kerajaan tidak akan mengapungkan harga ayam.

Malah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuk pemain-pemain industri penternakan bagi membincangkan isu berkaitan dengan bekalan dan harga siling baharu ayam di pasaran pada hari esok.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: