Tempatan

Bayi Ditinggalkan Bakal Dapat Kerakyatan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 19 Mac 2022 – Mahkamah Rayuan dengan keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa wanita berusia 23 tahun yang lahir tetapi ditinggalkan di hospital swasta sebelum diambil menjadi anak angkat oleh pasangan warganegara Malaysia berhak untuk mendapat kerakyatan Malaysia.

Menurut hakim yang membaca keputusan tersebut, Datuk S. Nantha Balan berkata, berdasarkan Perkara 14(1)(b), Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, wanita tersebut berhak menjadi warganegara Malaysia mengikut undang-undang berdasarkan kelahirannya dalam Persekutuan Malaysia.

Ketika menyampaikan keputusan yang dipersetujui oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim, Datuk S. Nantha Balan mengeluarkan kenyataan dengan berkata,

“Fakta menunjukkan bahawa wanita itu ditinggalkan. Kami tidak mengambil kira bahawa pembayaran dibuat kepada perantara yang tidak dikenali, mengurangkan fakta bahawa bayi ditinggalkan ibu bapa kandungnya.”

“…kami mendapati wanita tersebut telah ditinggalkan dan oleh itu layak mendapat kerakyatan.”

“Dengan itu, kami dengan keputusan majoriti, mendapati merit dalam rayuan itu. Rayuan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan.”

Beliau berkata, mahkamah juga memberikan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian Malaysia yang mengeluarkan dan menandatangani sijil kelahiran wanita itu sebagai bukan warganegara.

Berdasarkan berita terbitan Astro Awani, mahkamah turut memberikan perintah mandamus yang dimohon oleh wanita itu mengarahkan responden (Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian Malaysia) untuk mengeluarkan semula sijil kelahiran dan mendaftarkan wanita itu sebagai warganegara.

Tambah S Nantha Balan, Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada November 2021 dalam kes serupa membabitkan seorang kanak-kanak yang ditinggalkan semasa dilahirkan di sebuah hospital di Kuala Lumpur yang kemudiannya turut diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warga Malaysia.

Rayuan itu bukan sahaja dibuat oleh wanita berkenaan, malah ia turut dibuat oleh ibu bapa angkatnya yang berusia 70 dan 69 tahun.

Hakim Datuk Azizah Nawawi, dalam penghakiman bertentangan berkata, isu ditinggalkan tidak dibangkitkan dalam afidavit, oleh itu responden tidak perlu menjelaskan isu itu.

Beliau turut berkata, ibu bapa angkat telah melaksanakan pembayaran kepada ibu kandung melalui perantara yang terlibat dalam hal ini.

“Fakta mendedahkan berlaku pengambilan anak angkat, bukan ditinggalkan oleh ibu kandung. Anak itu tidak ditinggalkan di hospital, tetapi diserahkan untuk dijadikan anak angkat dengan bantuan perantara dan hospital,” ujar beliau lagi.

Berkenaan dengan ibu bapa angkat, hakim itu memaklumkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes lain memutuskan bahawa ibu bapa angkat bukan ibu kandung dalam Perkara 14 Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Pada 2 Jun 2022, wanita berkenaan bersama ibu bapa angkatnya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman pemula ketiga-tiga mereka untuk permohonan kewarganegaraan.

Menurut saman pemula itu, ibu bapa angkat dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa terdapat bayi untuk diambil sebagai anak angkat yang dilahirkan pada 9 Julai 1999. Mereka telah didaftarkan sebagai ibu bapa kanak-kanak tersebut dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia.

Semasa prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, perayu diwakili oleh peguam Ranee Sreedharan dan manakala Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia pula diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li.

Leave a Reply

Back to top button