Bayaran One Off RM 500 Kepada Petugas Barisan Hadapan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya sebentar tadi memaklumkan bahawa semua petugas barisan hadapan kesihatan akan menerima pemberian one-off sebanyak RM500 ringgit seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021.
Manakala petugas barisan hadapan yang lain pula akan menerima pemberian one-off sebanyak RM300 ringgit.
Pemberian one-off ini akan mula diterima oleh petugas barisan hadapan bermula suku tahun pertama tahun ini.
“Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021, pemberian one-off sebanyak RM500 ringgit kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, dan RM300 ringgit kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini,” ujar Perdana Menteri dalam perutusan Pakej Bantuan Khas hari ini.
Tambahnya lagi, bayaran bulanan sedia ada pula akan diteruskan sehingga wabak COVID-19 berakhir.
“Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak 600 ringgit oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan 200 ringgit oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 ini berakhir.”
Bukan itu sahaja, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memaklumkan, kerajaan juga akan menambah seramai lebih 3,500 anggota kesihatan yang akan mula bertugas hujung bulan ini.
“Dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19, seramai 8,000 petugas kesihatan tambahan untuk Kementerian Kesihatan telah diluluskan pada tahun lepas.”
“Mengambil kira situasi semasa, kerajaan akan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan RM150 juta ringgit. Ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.”
Di samping itu, Tan Sri Muhyiddin juga memberi jaminan, kerajaan akan menambah petugas kesihatan baharu sekiranya terdapat keperluan selain bagi menggerakkan program imunisasi nanti.
“Saya memberi jaminan, sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program imunisasi kelak, kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu.”