NGO

Bawa Masuk HDB Singapura, Wira PERKASA Bimbang Agenda Pecah Perintah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTokYouTubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Sayap Wira Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia(PERKASA) membantah cadangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membawa masuk pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) ke dalam negara ini.

Justeru itu Wira PERKASA Malaysia ingin tahu apakah keistimewaan pakar dari HDB Singapura ini sehingga tidak nampak pakar-pakar dalam bidang perancangan serta pembangunan bandar dan perumahan tempatan di dalam negara sehingga Kerajaan sanggup membawa pakar perumahan dari negara lain?

Wira PERKASA melahirkan kebimbangan sekiranya pakar dari luar negara dibawa masuk ke negara ini ianya mungkin tergugat dan mungkin berlaku pencabulan ke atas kedaulatan dan dari sudut keselamatan negara. Maklumat penting dan sulit Kerajaan mengenai perancangan bandar juga akan terjejas dan terdedah jika diberi akses sepenuhnya kepada pakar dari luar. Apakah ada jaminan tiada campur tangan kuasa asing dalam hal pembandaran dan perumahan di dalam negara? Adakah mereka lebih mahir berkenaan dengan selok belok proses dan pengurusan bandar di negara kita memandangkan negara kita mempunyai jumlah penduduk yang jauh lebih ramai berbanding Singapura? Dan yang paling utama sekali adalah adakah terdapat pihak-pihak tertentu yang menerima ‘imbuhan’ dengan alasan ‘win win situation’ sehingga KPKT bersedia untuk membuat keputusan yang sebegini?

Tidak dinafikan pembangunan negara adalah amat penting dalam menuju ke arah negara maju. Namun, adalah lebih afdal dan bermanfaat sekiranya kajian dan proses pembangunan tersebut dirancang oleh pakar-pakar tempatan demi memastikan segala maklumat sulit dan strategi pembangunan tidak diketahui atau diberi akses kepada pihak luar sewenang-wenangnya.

Pelbagai lagi cara yang boleh diguna pakai oleh KPKT dalam menyelesaikan dan menjayakan proses pembangunan bandar dan kerajaan tempatan.

Wira PERKASA juga ingin menegaskan bahawa isu kedaulatan dan keselamatan negara harus dipelihara dan tidak sewenang-wenangnya dijaja walaupun seribu alasan yang diberikan.

Wira PERKASA Malaysia juga bimbang kemungkinan agenda pecah perintah terhadap orang Melayu akan berlaku seperti mana berlaku di negara Singapura sejak sekian lama warga pulau itu dari kalangan orang Melayu ditaburkan merata tempat sehingga tiada satu pun kawasan majoriti kaum Melayu di negara tersebut. Ini bakal menghilangkan kuasa politik orang Melayu secara perlahan-lahan.

Dengan itu, Wira PERKASA Malaysia berharap KPKT membatalkan sahaja niat untuk membawa pakar perumahan dari Singapura masuk ke dalam Malaysia dan menyeru YAB Perdana Menteri untuk campur tangan dalam hal ini dan membuat penilaian semula.

Mohamad Razif bin Ross
Setiausaha Wira PERKASA Malaysia

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: