Tempatan

Batalkan Undang-Undang Islam Sama Seperti Batalkan Al-Quran & Hadis – MB Kelantan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 14 November 2023 – “Nak membatalkan undang-undang Islam ini sama dengan nak membatalkan al-Quran dan Hadis. Boleh dok kita nok membatalkan al-Quran dan Hadis? Tak Boleh! Saya tak terfikir orang Kelantan boleh buat benda ni,” selar Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berhubung cabaran terhadap 20 Peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019.

Menurut beliau, undang-undang Islam yang digubal adalah berteraskan al-Quran, hadis serta sunnah Rasulullah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata dirinya tidak pernah terfikir bahawa Enakmen Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang digubal oleh Kerajaan Negeri akan dicabar oleh individu dari negeri itu juga.

“Boleh cabar undang-undang Islam di mahkamah sedangkan kita orang Islam. Inilah nasib kita umat Islam,” katanya lagi.

Berikutan itu, beliau menyeru umat Islam untuk bersama-sama mempertahankan undang-undang Syariah serta memanjatkan doa agar usaha untuk membatalkan undang-undang Islam itu tidak berjaya.

Katanya, Mahkamah Persekutuan menetapkan pendengaran Petisyen Cabaran Terhadap 20 peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 disambung semula pada 20 November ini.

“Sekiranya petisyen oleh orang yang tidak bertanggungjawab ini diluluskan oleh mahkamah, ia akan menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah terhapus,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: