Tempatan

Batal Cuti Thaipusam: MB Kedah Tak Langgar Undang-Undang – Buzze Azam

KUALA LUMPUR: Peguam, Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Buzze Azam menyifatkan tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membatalkan cuti umum Thaipusam di negeri Kedah sebagai tidak melanggar undang-undang.

Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan Sanusi, namun, menurut Buzze Azam, terdapat dua mesej yang dilihatnya ingin disampaikan oleh MB Kedah itu kepada penganut agama lain.

“Secara umumnya, saya mungkin tidak bersetuju dengan tindakan MB Kedah ini.”

“Walau bagaimanapun, dari sudut yang lain, mungkin saya boleh bersetuju bahawa dengan kontroversi ini, beliau sedang menyampaikan 2 mesej kepada kaum-kaum lain.”

Pertama, tindakan MB Kedah membatalkan cuti umum Thaipusam adalah termaktub dalam kuasanya sebagai Menteri Besar, selaras dengan Seksyen 10 Akta Hari Kelepasan 1951.

“Hari Thaipusam tidak tersenarai sebagai hari kelepasan am utama di dalam Jadual Pertama seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951. Maka atas sebab itu, budi bicara Menteri Besar adalah terpakai sama ada untuk memberikan cuti umum negeri atau tidak untuk perayaan kaum-kaum lain yang tidak tersenarai sebagai cuti utama Persekutuan.”

Kedua, tindakan Sanusi selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Ini bermaksud, amalan ugama-ugama lain adalah dibenarkan tetapi tertakluk kepada undang-undang berkaitan ketenteraman awam.”

Oleh hal yang demikian, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu berharap agar kaum lain sedar akan kedudukan cuti perayaan keagamaan mereka hanyalah satu keistimewaan sahaja dan bukanlah satu hak.

“Oleh itu, kaum-kaum lain perlu sedar diri bahawa hal cuti perayaan keagamaan mereka selama ini BUKANLAH SATU HAK (rights) tetapi hanyalah satu KEISTIMEWAAN (privilege).”

“Apabila ia hanya keistimewaan, maka ianya boleh diubahsuai dan ditarik balik mengikut keadaan semasa sesuai dengan kuasa budi bicara pihak berkuasa yang berkaitan,” tambahnya.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy sebelum ini mengecam kerajaan pimpinan PAS Kedah yang membatalkan cuti umum Thaipusam yang sepatutnya disambut pada 28 Jan ini.

Saravanan meluahkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan Sanusi yang langsung tidak bertanya pendapat serta pandangan wakil orang India di peringkat Persekutuan sebelum membuat keputusan membatalkannya.

Manakala Ramasamy pula mempersoalkan mengapa Sanusi harus membatalkan cuti sempena Thaipusam dan mendakwa ia bukan terletak di bawah urusan Menteri Besar Kedah.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button