Tempatan

Bas Persiaran Rayu Kerajaan Perluas Subsidi Diesel

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LANGKAWI, 15 Jun 2024 – Persatuan Bas Persiaran Langkawi (PBPL) berharap Kerajaan Persekutuan tidak ‘menganaktirikan’ pengusaha bas persiaran, sebaliknya mempertimbang untuk memperluaskan subsidi diesel kepada mereka.

Pengerusinya, Megat Radhi Azizan, berkata pihaknya senada dengan persatuan-persatuan bas persiaran lain di negara ini merayu supaya kerajaan lebih adil dan mendengar keluhan pengusaha bas yang kini tertekan susulan kenaikan harga diesel di Semenanjung.

“Kenaikan harga bahan api itu sebanyak RM1.20 liter sejak empat hari lalu menyebabkan 25 pengusaha bas persiaran di pulau ini turut rasa tertekan dan membayangkan akan menaikkan caj sewaan bas bagi meneruskan operasi harian.”

“Sebagai contoh, sebelum ini kos untuk diesel bagi sebuah bas antara RM150 dan RM215 sehari, tapi sekarang mencecah antara RM235 dan RM335 sehari, jadi kami tidak lagi dapat bertahan dengan harga pakej lama,” katanya.

Setiap bas persiaran menggunakan antara 70 hingga 100 liter diesel untuk perkhidmatan pakej pelancongan selama lapan jam sehari.

Megat Radhi berkata, rata-rata pengusaha bas persiaran turut gusar apabila memikirkan kos pengurusan dan penyelenggaraan bas termasuk tayar dan pelbagai alat ganti lain dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.

“Jika kami menaikkan caj bagi perkhidmatan membawa pelancong, sudah tentu diikuti oleh kenaikan harga pakej pelancongan ditawarkan agensi pelancongan kerana kerap kalinya kenaikan kos berlaku secara berangkai.”

“Jika ini (kenaikan caj) berlaku sudah tentu memberi impak negatif kepada industri pelancongan di pulau ini yang masih berusaha untuk pulih selepas terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel bermula 10 Jun sebagai langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.

Harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter, berbanding harga lama RM2.15 seliter.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: