Tempatan

Bar Council Harus Martabatkan Bahasa Melayu – Jagveer Singh Barriar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AHAD, 05 Jun 2022 – “Rakan-rakan sekalian, kami sudah lebih daripada 60 tahun merdeka tau. Saya berpendapat bahawa sudah tiba masa untuk kita, sebagai peguam di negara ini, yang mencintai negara ini dan yang tidak ekstrem, kita haruslah memainkan peranan kami untuk memartabatkan lagi bahasa kebangsaan kami.”

Demikian kenyataan tegas seorang peguambela dan peguamcara, Jagveer Singh Barriar menerusi rakaman video dimuat naik di Facebooknya baru-baru ini.

Menurut Jagveer, video itu bertujuan untuk membincangkan penggunaan bahasa rasmi badan peguam Malaysia di dalam semua urusan, perutusan dan perbincangan mereka.

“Pada masa sekarang, badan peguam Malaysia ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pertuturan mereka,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan penggunaan bahasa asing itu berikutan kebanyakan hal perundangan di mahkamah dan semua perbincangan Parlimen atau badan Kerajaan mengenai perundangan dibahas dalam Bahasa Melayu.

Selain itu, Jagveer mengatakan bahawa Bahasa Melayu juga membenarkan semua lapisan masyarakat di negara ini memahami dengan lebih terperinci agenda Ambiga Sreenevasan dan sekutunya terhadap pengurusan badan peguam Malaysia.

Tambahnya lagi, usaha tersebut selaras dengan misi Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang mengharapkan agar semua rakyat Malaysia dapat membina jati diri dengan memartabatkan bahasa kebangsaan negara.

Selain daripada itu, usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini juga selaras dengan matlamat pembangunan lestari ke-16 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu keamanan, keadilan dan pertubuhan kukuh. Setiap negara disasarkan untuk mencapai matlamat berkenaan pada tahun 2030.

“Setiap negara disaran untuk mempromosikan masyarakat yang aman dan menyeluruh demi pembangunan mampan, memberikan capaian keadilan kepada semua, dan membina institusi yang berkesan, dipercayai dan menyeluruh pada semua tahap,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button