Tempatan

Bapa Muhammad Adib Terima RM1.5 Juta ‘Saham Akhirat’ Adib

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ALOR SETAR, 21 Mac 2022 – “Wang itu akan digunakan untuk saham akhirat arwah,” kata bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid setelah menerima wang pampasan RM1.5 juta daripada kerajaan 29 November tahun lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa keluarga Allahyarham Muhammad Adib sangat bersyukur telah menerima wang tersebut dan akan menggunakannya sebaik mungkin.

BACA: Kes Adib: Koroner Ada Kuasa Hukum Tommy Thomas

BACA: Jawatankuasa Kes Adib Minta Orang Awam Kongsi Maklumat

BACA: Adakah Jawatankuasa Siasatan Adib Satu Sandiwara Politik? Peguam Negara Sila Jawab – Haniff Khatri

“Wang ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga, dalam masa yang sama wang ini akan turut disumbangkan kepada masjid.”

“Saya juga akan guna wang ini untuk wakafkan sesuatu atas nama arwah. Kami sekeluarga akan lakukan yang terbaik untuk anak-anak saya serta arwah,” kata Mohd Kassim seperti yang dilaporkan Metro baru-baru ini.

Selain itu, menurut laporan Utusan, Mohd Kassim berharap orang ramai tidak menuduh mereka sebagai ‘mata duitan’ kerana menerima wang pampasan tersebut. Katanya, walaupun tragedi itu berlaku empat tahun lalu, rasa kehilangan Allahyarham tidak mampu diganti dengan sejumlah wang di dunia ini.

“Tiada timbang antara rasa kehilangan di hati kami sejak kematian arwah dengan wang RM1.5 juta ini. Malah tiada nilai yang dapat menandingi nyawa arwah dan keadilan untuk kematian dan pengorbanannya. Kami tahu apabila perkara ini tersebar tentang pampasan ini, semua akan menuduh kami mata duitan kerana menerimanya,” ujar bapa Allahyarham.

Menurutnya, keluarga mereka mempunyai alasan tersendiri apabila menerima wang pampasan itu.

“Kami ada alasan kenapa menerima wang pampasan ini. Kira-kira setahun selepas kejadian kami sudah bercadang dengan peguam untuk menyaman kerajaan apabila melihat kes ini seolah-olah tiada kesudahan, kematian arwah seolah-olah tiada pembelaan.”

Jelas beliau lagi, mereka yakin kemenangan kes ini akan berpihak kepada mereka namun setelah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai tawaran pampasan ini, mereka bersetuju untuk menerima wang tersebut dan menarik balik saman terhadap pihak kerajaan.

Baru-baru ini, Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan bahawa kes kematian anggota bomba itu kini sedang disiasat secara menyeluruh dan telus serta diberikan pembelaan sewajarnya.

Muhammad Adib, 24, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember 2018. Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner mengesahkan kematiannya disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak dikenal pasti.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: