Tempatan

Bantuan Asas Psikologi Bolehkan Lebih Ramai Individu Terkesan Dibantu – Dr Rozanizam Zakaria

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

NILAI, 06 Oktober 2022 – Ketua Penggubal Modul HealHer, Dr Rozanizam Zakaria menjelaskan bahawa kepentingan Bantuan Asas Psikologi membolehkan lebih ramai individu terkesan dibantu selain ia juga merupakan bantuan peringkat awal yang dapat diberikan kepada individu yang terkesan dengan trauma atau krisis.

Tambah beliau, Bantuan Asas Psikologi yang boleh dilakukan oleh mana-mana individu yang terlatih, sekalipun bukan golongan profesional kesihatan mental juga bertujuan membantu individu terkesan mengendalikan emosi sewaktu krisis.

Seterusnya, Bantuan Asas Psikologi ini turut berfungsi sebagai penghubung kepada bantuan lanjutan yang diperlukan individu terbabit serta dapat melindungi mereka dari impak serius trauma yang dilalui.

Justeru, kelahiran modul HealHer adalah antara inisiatif meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang kesihatan mental sekali gus mengupayakan mereka dengan kemahiran asas untuk menghadapi situasi tekanan emosi.

Terdapat pelbagai langkah yang disediakan HealHer seperti enam teknik Bantuan Asas Psikologi iaitu ASSIST 6M, Approach, Stabilise, Serve, Inform, Support dan Turn untuk membantu orang ramai menghulurkan bantuan.

Menurut beliau, situasi sukar atau mencabar seperti mangsa keganasan rumah tangga, krisis di tempat kerja, konflik kewangan, mangsa bencana alam atau kemalangan menyebabkan individu mengalami gangguan emosi.

Individu tersebut selanjutnya akan bereaksi dari segi emosi seperti berasa sedih dan marah, bereaksi fizikal seperti berpeluh dan berdebar sehingga timbul reaksi fikiran yang membawa kepada rasa putus asa dan sebagainya.

Dr Rozanizam Zakaria berkata, ketiga-tiga reaksi terbabit akhirnya akan membawa kepada reaksi tingkah laku seperti bertindak agresif atau menyendiri.

Demikian perkongsian Dr Rozanizam Zakaria yang juga merupakan Pakar Psikiatri dan Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Majlis Pelancaran Bantuan Asas Psikologi Untuk Wanita (HEALHER) yang diadakan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), semalam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: