Bantah Presiden Naikkan Umur Persaraan, Warga Paris Mengamuk
PERANCIS, 18 Mac 2023 – Ribuan orang ramai telah berkumpul dan merusuh di Paris dalam menzahirkan penentangan mereka terhadap bil undang-undang baharu yang dimulakan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Rusuhan tersebut telah berlaku berdekatan dengan bangunan Parlimen, di mana ribuan para perusuh telah menyalakan api serta membuat halangan jalan-jalan di sepanjang ibu negeri Perancis itu.
Dalam masa yang sama, beberapa kumpulan perusuh yang bertopeng kelihatan berlawan dengan pihak polis. Pihak polis turut menembak gas pemedih mata terhadap para perusuh serta berdepan dengan orang ramai yang berhimpun di dalam barisan.
BACA JUGA: SPRM Siasat Lima Bank Utama Jadi Transit Wang Haram
BACA JUGA: Pengarah & Pelakon ‘Mentega Terbang’ Terima Ugutan Bunuh, Polis Sedang Siasat
BACA JUGA: Ziarah Rumah Ibadat Bukan Islam Bercanggah Dengan Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 – MAIS
Macron telah memintas parlimen dan telah menggubal sebuah pakej pembaharuan pencen pada Khamis lalu. Tindakan tersebut yang telah menaikkan had persaraan di Perancis sehingga umur 64 tahun telah mengundang siri protes sejak beberapa bulan lalu.
Macron telah menggunakan kuasa istimewa pada perlembagaan bagi meluluskan bil undang-undang tersebut sebelum sesi undian dibuat.
Presiden negara tersebut telah mendakwa bahawa sistem pencen Perancis akan jatuh muflis kecuali warga negara tersebut dapat memasukkan lebih banyak wang ke dalam sistem. Justeru menurut Macron, tindakan menaikkan had pencen daripada 62 ke 64 tahun itu dapat mencapai matlamat tersebut.
Kesatuan-kesatuan perusahaan Perancis pula telah mempertikaikan hujah Macron dengan menyatakan bahawa sistem itu sepatutnya diselamatkan dengan usaha menaikkan cukai bagi golongan kaya.