Ekonomi

Bank Negara Bebas Laksana Dasar Monetari – Menteri Kewangan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 Julai 2022 – Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) bebas melaksanakan dasar monetarinya tanpa sebarang campur tangan dari pihak Kerajaan.

Ini termasuklah penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Berdasarkan undang-undang, Kerajaan tidak boleh menyelaras sebarang kenaikan dasar monetari kerana BNM adalah sebuah badan bebas,” katanya menurut Berita Harian.

Tambahnya lagi seperti dalam Sinar Harian, “Kita tidak boleh selaraskan keputusan tersebut kerana ini melanggar undang-undang. Ini penting kerana ianya berkaitan dengan kepercayaan terhadap pasaran…jika terdapat sebarang manipulasi atau campur tangan Kerajaan dalam sebarang keputusan dasar monetari, ia akan menjejaskan integriti pasaran.”

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25%, kenaikan kali kedua sejak Mei 2022.

Mengulas lanjut perkara ini, Tengku Datuk Seri Zafrul menyatakan bahawa kenaikan OPR BNM ini adalah berdasarkan tekanan inflasi yang terus meningkat kepada 2.8 peratus berbanding 2.4 peratus sebelum ini.

Malah, tekanan inflasi ini dihadapi seluruh dunia termasuk negara maju yang ada antaranya melebihi sembilan peratus.

“Fenomena ini diakibatkan oleh kenaikan harga komoditi global disebabkan konflik Rusia-Ukraine serta gangguan rantaian bekalan.”

“OPR ketika ini juga masih rendah berbanding dengan kadar sebelum pandemik COVID-19 sebanyak tiga peratus,” katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan dan Laporan Kelestarian 2021 Edotco minggu lalu.

“Jika OPR kekal, pelabur akan alih pelaburan mereka ke luar Malaysia. Ringgit jatuh, harga barang akan naik kerana kita mengimport 60 peratus bahan mentah.”

“Kenaikan ini juga berdasarkan perkembangan terkini serantau. Secara dasarnya, saya merasakan dasar monetari kita masih kompetatif,” kata beliau lagi.

Tengku Datuk Seri Zafrul walau bagaimanapun memberi jaminan Kerajaan mengambil maklum kenaikan OPR ini dan akan terus memantau perkara ini.

Leave a Reply

Back to top button