Bank Muamalat Ada Hak Failkan Saman Sivil Isu Cek ‘Tidak Halal’ – Fatihah Jamhari
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 02 Januari 2022 – “Bagi saya Bank Muamalat punya hak untuk melaporkan kepada polis atas sebab fitnah jenayah dan menyebabkan ketidakharmonian atas alasan agama,” ujar Fatihah Jamhari.
“Selain itu, pihak bank Muamalat juga boleh memfailkan saman sivil atas fitnah yang dibuat oleh pihak-pihak yang terbabit,” ini pandangan Ketua Biro Bahagian Undang-Undang & Hak Asasi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) itu.
Apabila disoal apakah punca sikap segelintir umat Islam hari ini yang terikut budaya negatif apabila sering dilihat gemar mengkritik secara melulu dan membuta tuli tanpa mengetahui perkara sebenar, Fatihah menjawab,
“Bagi saya ini adalah salah satu kesan daripada produk post-modernism yang membuka landasan besar buat orang ramai menyuarakan pendapat sehingga kita semua rasa kita berhak suarakan apa saja.”
“Perkara ini tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Kita dapat lihat fenomena ini ada dalam semua komuniti dan agama di seluruh dunia sekarang,” kata beliau.
Misalnya, di United States Of America (USA) ada Karens yang akan rasa diri mereka berhak untuk suarakan pandangan mereka walaupun bercanggah dengan undang-undang dan menyinggung orang lain.
Menyentuh isu Islamofobia di Malaysia, Fatihah menyatakan bahawa ramai yang bersikap begini sepertimana yang boleh dilihat dalam komen-komen media sosial.
“Contohnya, cuba buka hantaran mana-mana portal berita yang dikongsikan di Facebook terutama yang berbaur isu Melayu atau Islam dan yang sangat jelas ialah rata-rata daripada mereka ini akan berbunyi Islamofobia,” ujar beliau.