Tempatan

Banjir: YDPA Titah Jadikan Daerah Pekan Sebagai Contoh

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 27 Januari 2024 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya projek mendalamkan sungai yang dijalankan di daerah Pekan dapat dijadikan contoh di Sungai Lembing.

“Tahun demi tahun, bulan demi bulan, apabila hujan lebat bukan hanya menunggu musim tengkujuh tetapi kadang-kadang adakala bila hujan lebat, banjir akan berlaku di sini.”

“Saya masih merasakan sungai di Sungai Kenau ini perlu didalamkan. Percayalah, tak guna ada tebatan tapi air dapat melimpah sampai ke bandar (Pekan Sungai Lembing).”

“Saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan, semasa di Pekan, kita sudah mendalamkan sungai dan Alhamdulillah setakat ini nampak banjir dapat kita kurangkan. Dan mudah-mudahan dapat kita usahakan di sini.”

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli menyantuni 468 mangsa banjir daripada 202 keluarga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sungai Lembing, baru-baru ini.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri , Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; dan Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah meminta pihak berwajib membantu membaikpulih infrastruktur dan kediaman yang rosak.

“Mungkin sudah sampai masanya kena kaji, tengok keadaan sungai kita ini. Kaji, tengok, infrastruktur yang ada di sini. Jalan nak capai di sini sudah pun mendap, sungai mungkin dah cetek.”

“Dan rumah-rumah di tepi sungai ini perlu ditingkatkan (ditinggikan), buat dua lapis (tingkat). Jangan kita benar (pembinaan) rumah-rumah yang baharu satu lapis (tingkat), elok dicadangkan buat dua lapis.”

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa segala bantuan perlu diselesaikan segera.

“Saya nak tengok kawasan ini diselenggara semula. Takkan tiap-tiap bulan kene cuci rumah atau dibaiki semula. Harap dapat diselesaikan dengan segera. Jangan tunggu PRU (Pilihan Raya Umum) sahaja nak janji. Sempurnakan sekarang,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan hampir RM100 juta bagi melaksanakan tebatan banjir di negeri ini dan Baginda menzahirkan harapan supaya projek tersebut dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan masalah banjir ini tidak lagi berulang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: