Banjir Pakistan Membawa Wabak Penyakit Baru – WHO
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GENEVA, 01 September 2022 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran banjir teruk yang melanda Pakistan mungkin akan mengancam sistem kesihatan dan memburukkan lagi wabak yang ada seperti malaria, polio dan COVID-19.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hujan monsun yang bermula pada pertengahan Julai itu telah merosakkan 888 kemudahan kesihatan di negara itu termasuk 180 kemudahan yang musnah sepenuhnya.
“Pakistan sememangnya sedang menghadapi ancaman kesihatan seperti COVID-19, taun, kepialu, campak, leishmaniasis, HIV dan polio.”
“Kini, Pakistan akan berdepan wabak baru seperti penyakit cirit-birit, jangkitan kulit, jangkitan saluran pernafasan, malaria, denggi dan banyak lagi.
“Keadaan diburukkan lagi dengan kekurangan tanaman dan ternakan yang akan memberi kesan yang besar kepada pemakanan dan kesihatan komuniti di sana,” kata kenyataan media pada Rabu lalu.
Melihat kepada situasi yang berlaku di Pakistan, WHO telah mengklasifikasikan banjir di Pakistan sebagai kecemasan gred 3, tahap tertinggi, yang bermaksud ketiga-tiga peringkat organisasi terlibat dalam tindak balas; pejabat negara dan wilayah serta ibu pejabat.
Sebagai permulaan tindak balas segera, WHO telah mengalihkan kem perubatan bergerak untuk membendung COVID-19 ke kawasan yang terjejas untuk menyediakan air bersih dan menyaring penyakit.
Selain itu, WHO juga telah menyediakan bekalan menyelamatkan nyawa kepada kemudahan kesihatan, menyokong pasukan kesihatan bergerak, dan mencegah penyebaran penyakit berjangkit.